ROMA 10:1-21

ROMA 10:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku! Dengan sepenuh hati aku berharap supaya bangsaku diselamatkan! Dengan tekun aku berdoa kepada Allah bagi mereka. Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka sungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah. Tetapi pengabdian mereka tidak berdasarkan pengetahuan daripada Allah. Mereka tidak mengetahui cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Sebaliknya mereka berusaha untuk mengikut cara mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak mahu menerima cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa. Oleh itu orang yang percaya kepada Kristus dapat berbaik semula dengan Allah. Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, “Orang yang mentaati Taurat akan hidup.” Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, “Janganlah bertanya dalam hati, ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’ (maknanya membawa Kristus turun), atau ‘Siapakah yang akan turun ke alam maut?’ (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).” Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.” Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, “Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!” Tetapi tidak semua orang menyambut Berita Baik itu. Nabi Yesaya berkata, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?” Oleh itu orang dapat percaya kerana mendengar perkhabaran itu, dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang memberitakan Kristus. Tetapi aku bertanya: Betulkah mereka belum mendengar perkhabaran itu? Tentu mereka sudah mendengarnya, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Suara mereka terdengar di seluruh dunia; dan kata-kata mereka sampai ke hujung bumi.” Aku bertanya pula: Tidakkah orang Israel memahaminya? Musa ialah orang pertama yang menjawab soalan itu. Dia berkata, “Allah berfirman, ‘Aku akan menjadikan kamu iri hati terhadap mereka yang bukan bangsa; Aku akan menjadikan kamu marah terhadap bangsa yang bodoh.’ ” Yesaya lebih berani lagi ketika dia berkata, “Allah berfirman, ‘Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku, Aku menampakkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.’ ” Tetapi tentang orang Israel Yesaya berkata, “Allah berfirman, ‘Sepanjang hari Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang tidak taat kepada-Ku dan yang melawan Aku.’ ”

ROMA 10:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

HIE sagala saudaraku, bahwa kahandak hatiku, dan doaku kapada Allah kŭrna orang Israil, supaya marika itu bulih dislamatkannya. Kŭrna aku mŭnjadi saksi bagie marika itu, bahwa adalah rajin marika itu kapada Allah, tŭtapi bukannya dŭngan hal pŭngŭtahuan. Kŭrna ulih sŭbab kŭbodohan marika itu akan kabŭnaran Allah, sŭrta handak mŭmbuat jalan akan mŭndirikan kabŭnarannya sŭndiri, akam tiadalah marika itu mŭna’lokkan dirinya kapada kabŭnaran Allah. Kŭrna Almasih itulah kasudah sudahan tauret ulih sŭbab kabŭnaran bagie tiap tiap manusia yang bŭriman. Kŭrna Musa pun mŭngatakan pri kabŭnaran yang datang deripada tauret juga, Adapun orang yang mŭmbuat sagala pŭrkara itulah akan hidop ulih sŭbabnya. Tŭtapi kabŭnaran yang datang deripada iman itu mŭngatakan dŭmkian: Bahwa janganlah angkau bŭrfikir dalam hatimu, siapakah akan naik kashorga? (iya itu akan mŭnuronkan Almasih kŭbawah.) Atau siapakah akan turon kŭdalam alam bŭrzak? (iya itu akan mŭmbangkitkan Almasih pula deripada matinya.) Tŭtapi apakah kata itu? Adapun pŭrkataan itu dŭkat padamu, iya itu dalam mulotmu dan dalam hatimu pun, iya itu pŭrkataan iman yang kita mŭngajarkan. Bahwa jikalau angkau mŭngaku dŭngan mulotmu akan Tuhan Isa itu, dan pŭrchaya pula angkau dalam hatimu, bahwa Allah tŭlah mŭmbangkitkan dia deripada matinya, maka angkau kŭlak akan slamat. Kŭrna dŭngan hatilah manusia itu pŭrchaya akan bŭrulih kabŭnaran, dan dŭngan mulotlah iya mŭngaku akan bŭrulih slamat. Kŭrna kitab mŭngatakan, Maka barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada akan malu. Kŭrna tiadalah pŭrbethaan diantara orang Yahudi dŭngan orang Grika, kŭrna suatu juga Tuhan yang diatas skalian, maka iyalah kaya bagie sagala orang yang bŭrsru kapadanya. Kŭrna barang siapa yang bŭrsru akan nama Tuhan, maka iya itu kŭlak akan slamat. Maka bagimanakah garangannya orang orang bulih bŭrsru kapadanya, sŭbŭlom marika itu pŭrchaya akan dia? Dan bagimana garangannya orang bulih pŭrchaya akan dia, sŭbŭlom didŭngar ulih marika itu akan halnya? dan bagimanakah marika itu handak mŭnŭngar, dŭngan tiada sa’orang yang mŭmbri tahu? Dan bagimanakah orang bulih mŭmbri tahu, jikalau tiada iya disurohkan? Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bagimanakah eloknya kaki orang orang yang mŭmashorkan Injil pŭrdamiean, dan yang mŭmbawa khabar sŭnang derihal pŭrkara pŭrkara yang baik. Tŭtapi bŭlomlah sŭmua marika itu mŭnurot Injil itu, kŭrna nabi Jasia tŭlah bŭrkata, Tuhan siapakah yang tŭlah pŭrchaya akan khabar kita? Bŭgitulah, bahwa iman itu datang deri sŭbab pŭnŭngaran, dan pŭnŭngaran itu datang deri sŭbab fŭrman Allah. Tŭtapi aku bŭrkata, bahwa bŭlomkah didŭngar ulih marika itu? Bahkan, sŭsungguhnya bunyinya tŭlah mŭmŭchah atas sagala muka bumi, dan pŭrkataannya pun sampie kapada sagala fiak bumi. Tŭtapi aku bŭrkata, Bŭlomkah tŭlah sudah dikŭtahui ulih bani Israil? Tŭrdahulu Musa tŭlah bŭrkata, Aku kŭlak akan mŭmbangkitkan bagiemu chŭmbruan ulih orang yang bukannya sa’kaum, dan ulih sŭbab suatu bangsa yang bodoh itu kŭlak aku akan mŭmbangkitkan kŭmarahanmu. Tŭtapi nabi Jasia itu tŭrlalu brani, sambil katanya, Bahwa aku tŭlah didapati ulih orang orang yang tiada mŭnchari akan daku, dan aku pun tŭlah dinyatakan kapada marika itu yang tiada bŭrtanya akan daku. Tŭtapi Allah tŭlah bŭrfŭrman kapada bani Israil, Bahwa sŭpanjang panjang hari aku tŭlah mŭmanjangkan tanganku kapada suatu bangsa yang dŭrhaka dan yang bŭrbantah.

ROMA 10:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saudara-saudaraku, hasrat hatiku dan doaku kepada Allah tentang orang Israel ialah semoga mereka akan diselamatkan. Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar. Oleh sebab mereka tidak mengetahui perbenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan perbenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada perbenaran Allah. Kristus ialah titik tamat hukum supaya perbenaran didapati oleh setiap orang yang beriman. Musa telah menulis tentang perbenaran berasaskan hukum Taurat, “Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Tetapi perbenaran berasaskan iman berkata demikian, “Jangan bertanya dalam hatimu, ‘Siapa yang akan naik ke syurga?’ (untuk membawa Kristus turun) atau, ‘Siapa yang akan turun ke alam kubur?’ (untuk membawa Kristus naik daripada kematian).” Apakah yang dikatakan? “Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan dalam hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan): Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan; kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.” Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.” Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya. Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.” Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya? Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!” Akan tetapi, tidak semua yang mahu menerima berita Injil itu. Sebagaimana kata Yesaya, “Tuhan, siapa yang percaya akan perkhabaran yang kami sampaikan?” Oleh itu, iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda Kristus. Tetapi aku bertanya, “Tidakkah mereka mendengar?” Tentu sekali: “Suara mereka telah tersebar ke serata bumi, dan kata-kata mereka telah sampai ke hujung dunia.” Sekali lagi aku bertanya, “Tidakkah orang Israel mengerti?” Pertama, Musa berkata: “Aku akan membuatmu iri hati dengan orang yang bukan satu bangsa; Aku akan membuatmu marah dengan satu bangsa yang tidak mengerti.” Kemudian Yesaya lantang berkata, “Aku telah ditemui oleh mereka yang tidak mencari-Ku; Aku menyatakan diri-Ku kepada orang yang tidak memohon kehadiran-Ku.” Tetapi kepada orang Israel dia berkata, “Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan keras kepala.”