ROMA 1:8-17

ROMA 1:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus. Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu. Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu. Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku. Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma. Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!”

ROMA 1:8-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun pŭrtama tama aku mŭnguchap shukor kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih akan kamu skalian, sŭbab iman kamu itu tŭlah mashorlah pada sagala alam. Bahwa Allah itulah akan mŭnjadi saksiku, dan kapadanya juga aku bŭrbakti dŭngan jiwaku dalam Injil Anaknya; bahwa dŭngan tiada bŭrkŭputosan juga aku mŭnyŭbut nama kamu slalu dalam doaku. ¶ Maka adalah aku mŭmohonkan kalau dŭngan sŭbulih bulinnya, insha Allah, supaya aku bulih pŭrgi skarang mŭndapatkan kamu skalian dŭngan sŭjahtranya. Kŭrna rindu hatiku handak bŭrtŭmu dŭngan kamu skalian, supaya bulih aku mŭmbahgikan kapada kamu pun barang anugrah Roh Alkudos, akhirnya kŭlak kamu dapat ditŭtapkannya. Iya itu supaya aku pun bulih dihiborkan bŭrsama sama dŭngan kamu ulih iman yang ada pada kadua fiak kita, iya itu kamu dan aku. Saudara saudaraku, bahwa bukannya kahandakku supaya kamu mŭnjadi bodoh; maka bŭbrapa kali chitaku handak datang kapadamu, tŭtapi sampie skarang pun aku ada tŭrsangkot akan bŭrulih buah buahan deripadamu pula, spŭrti deripada orang orang sŭsat yang lain pun. Kŭrna adalah aku ini sa’orang yang bŭrhutang, baik kapada orang orang Grika, baik kapada orang orang dagang, baik kapada orang yang bŭrakal, baik kapada orang yang tiada bŭrakal. Maka dŭngan sŭbulih bulihnya juga adalah sŭdia aku akan mŭmbri tahu Injil kapada skalian yang diRom pun. Kŭrna aku tiada malu akan Injil Almasih itu, kŭrna iya itulah kudrat Allah akan mŭndatangkan slamat bagie tiap tiap orang yang pŭrchaya, tŭrdahulu kapada orang Yahudi, dan kapada orang Grika pun. Kŭrna dalamnya itulah dinyatakan kabŭnaran Allah deripada iman sampie kapada iman, spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwasanya orang yang bŭnar itu akan hidop dŭngan iman.