ROMA 1:1-7,14-17
ROMA 1:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab. Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya. Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus. Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
ROMA 1:14-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma. Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!”
ROMA 1:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BAHWA Paulus sa’orang hamba Isa Almasih yang tŭlah ditŭntukan mŭnjadi rasol, akan dipileh kŭrna Injil Allah. Yang tŭlah dijanjikannya dahulu dŭngan mulot nabi nabinya dalam kitab kitab yang suchi Akan hal Anaknya, iya itu Isa Almasih Tuhan kami, yang sudah dijadikan deripada bŭnih Daud sŭkŭdar ka’adaan manusia. Yang ditŭntukannya iyalah Anak Allah dŭngan kawasa sŭkŭdar Roh Alkudos, ulih sŭbab kŭbangkitan deripada matinya. Maka deripadanyalah kami tŭlah pŭrulih anugrah, dan pangkat rasol, akan mŭnjadikan sagala bangsa manusia pŭrchaya, sŭrta bŭrbakti ulih kŭrna namanya. Maka diantara marika itu kamulah yang tŭlah dipileh ulih Isa Almasih. Adapun kapada sagala orang yang diRom yang dikasihi Allah kiranya, dan yang tŭlah dipileh akan mŭnjadi orang suchi, maka dibri kiranya nikmat dan slamat bagiemu deripada Allah, iya itu Ayah kami, dan Tuhan Isa Almasih.
Rom 1:14-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna adalah aku ini sa’orang yang bŭrhutang, baik kapada orang orang Grika, baik kapada orang orang dagang, baik kapada orang yang bŭrakal, baik kapada orang yang tiada bŭrakal. Maka dŭngan sŭbulih bulihnya juga adalah sŭdia aku akan mŭmbri tahu Injil kapada skalian yang diRom pun. Kŭrna aku tiada malu akan Injil Almasih itu, kŭrna iya itulah kudrat Allah akan mŭndatangkan slamat bagie tiap tiap orang yang pŭrchaya, tŭrdahulu kapada orang Yahudi, dan kapada orang Grika pun. Kŭrna dalamnya itulah dinyatakan kabŭnaran Allah deripada iman sampie kapada iman, spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwasanya orang yang bŭnar itu akan hidop dŭngan iman.
ROMA 1:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripada Paulus, hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah. Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, iaitu tentang Anak-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan daripada keturunan Daud, namun dengan Roh Kudus, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Anak Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Yesus Kristus, Tuhan kita. Melalui Yesus Kristus dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia daripada segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya. Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi milik Yesus Kristus. Aku menulis kepada kamu sekalian di Roma, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus memberimu kasih kurnia dan damai sejahtera.
Roma 1:14-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga. Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani. Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”