WAHYU 4:1-6
WAHYU 4:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Sesudah itu aku nampak suatu penglihatan lagi. Aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi trompet, yang pernah bercakap kepadaku berkata, “Marilah naik ke sini. Aku akan menunjukkan apa yang harus berlaku selepas ini.” Dengan segera Roh Allah menguasai aku. Aku melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang.
WAHYU 4:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA kumdian deripada itu aku mŭlihat, bahwa sŭsungguhnya adalah suatu pintu tŭrbuka dalam shorga; maka pŭrtama tama swara yang kudŭngar, iya itu spŭrti nafiri bŭrkata kata dŭngan aku, katanya, Marilah angkau naik kŭmari, maka aku akan mŭnunjokkan padamu pŭrkara pŭrkara yang dapat tiada akan jadi kŭlak kumdian deripada masa ini. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga aku pun dimasokilah ulih Roh; maka hieran, suatu arash tŭrdirilah dalam shorga, maka ada sa’orang orang dudok diatas arash itu. Adapun orang yang dudok diatasnya itu klihatan rupanya spŭrti pŭrmata yakut dan yasib; maka pŭlangi pun mŭnglilingi arash itu, klihatan sa’olah olah pŭrmata zamrod. Dan dikliling arash itu ada dua puloh ampat buah krosi, maka diatas krosi krosi itu aku tŭlah mŭlihat dudok dua puloh ampat orang tua tua, dŭngan mŭmakie pakiean putih, dan dikŭpalanya adalah mahkota mahkota yang kaamasan. Maka kluarlah kilat, dan halalintar, dan bŭbrapa swara deri dalam arash itu: dan tujoh buah plita deripada api ada bŭrnyala dihadapan arash itu, maka iya itulah tujoh Arwah Allah. Maka dihadapan arash itu, suatu laut kacha spŭrti hablor: dan ditŭngah arash itu, dan diklilingnya arash itu, adalah ampat binatang pŭnoh dŭngan mata dihadapan dan diblakangnya.
WAHYU 4:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, “Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak.” Serta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya. Dia yang bersemayam itu berwajah gilang-gemilang seperti batu yaspis dan akik. Takhta itu dikelilingi pelangi yang bersinar laksana zamrud. Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas. Dari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata.