WAHYU 20:1-15

WAHYU 20:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Dia memegang kunci jurang maut dan seutas rantai besar. Dia menangkap naga itu, ular tua itu iaitu Iblis atau Syaitan, dan merantainya selama seribu tahun. Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu. Selepas itu naga itu mesti dilepaskan untuk masa yang singkat. Kemudian aku nampak takhta-takhta dan orang yang duduk di atas takhta-takhta itu diberikan kuasa untuk menghakimi. Aku juga melihat roh-roh orang yang sudah dipancung kerana memberitakan ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus, dan kerana menyampaikan firman Allah. Mereka tidak menyembah binatang itu ataupun patungnya. Mereka tidak menerima tanda binatang itu pada dahi ataupun pada tangan. Mereka hidup semula dan memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun. (Tetapi orang mati lainnya tidak hidup semula sehingga masa seribu tahun itu berlalu.) Inilah tahap pertama orang mati dibangkitkan. Berbahagialah mereka yang dibangkitkan pada tahap pertama itu; mereka milik Allah. Kematian tahap kedua tidak berkuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama Dia selama seribu tahun. Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara, dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai. Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu. Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya. Kemudian aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi. Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu. Lalu laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut pun menyerahkan orang mati yang di situ. Semua orang mati diadili menurut perbuatan masing-masing. Kemudian maut dan alam maut dibuang ke dalam lautan api. (Lautan api ini kematian tahap kedua.) Sesiapa yang namanya tidak tertulis di dalam Kitab Orang Hidup dibuang ke dalam lautan api.

WAHYU 20:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka kulihat sa’orang mŭliekat turon deri langit, ada ditangannya anak kunchi kluboran yang tiada dapat tŭrduga itu, dan suatu rantie bŭsar. Maka ditangkapnya naga itu, iya itu ular lama itu, iyaani Iblis, dan Shietan, lalu dirantiekannya sa’ribu tahun lamanya. Sŭrta dichampakkannya akan dia kadalam kluboran yang tiada dapat tŭrduga itu, sŭrta ditutopkannya dan dimutriekannya atasnya, supaya janganlah iya mŭnipu akan bangsa bangsa itu lagi, sampielah gŭnap sa’ribu tahun itu: maka kumdian deripada itu dapat tiada dilŭpaskan akan dia barang sa’kutika juga lamanya. Maka aku tŭlah mŭlihat bŭbrapa singgahsana, orang orang yang dudok diatasnya, tŭlah dikurniakan bagienya kwasa mŭnghukumkan: maka kulihat sagala nyawa orang yang tŭrpanggal lehernya deri sŭbab bŭrsaksi akan Isa, dan deri sŭbab pŭrkataan Allah, dan yang tiada mŭnyŭmbah akan binatang itu, atau gambarnya, atau tiada mŭnŭrima tandanya pada dahinya, atau pada tangannya; maka hidoplah marika itu bŭrkrajaan sŭrta dŭngan Almasih sa’ribu tahun lamanya, Tŭtapi sagala orang lain yang tŭlah mati itu tiadalah hidop pula sŭbŭlom habis sa’ribu tahun itu, maka inilah kabangkitan yang pŭrtama. Bŭrbahgialah dan suchilah kiranya orang orang yang tŭlah bŭrulih bahgian pada kabangkitan yang pŭrtama itu; kapada yang dŭmkian tiadalah bŭrkwasa kamatian yang kadua itu lagi, mŭlainkan iya kŭlak mŭnjadi imam imam Allah dan Almasih, maka iya kŭlak bŭrkrajaanlah bŭsŭrta dŭngan dia sa’ribu tahun lamanya. Maka apabila habislah sa’ribu tahun itu, Shietan itu kŭlak akan dilŭpaskan deripada pŭnjaranya, Maka iya kŭlak akan kluar pŭrgi mŭnipukan sagala bangsa yang ada pada ampat fihak bumi itu, iya itu Yajuj dan Maju, mŭngampongkan marika itu bŭrsama sama bŭrprang: adapun bilangan marika itu spŭrti pasir dilaut. Maka kluarlah marika itu pada spanjang bumi, sŭrta mŭngŭpong bŭrkŭliling akan tŭmpat tŭntara orang salih, dan nŭgri yang dikasihi itu: maka turonlah api deripada fihak Allah deri langit, mŭnghanguskan marika itu. Bŭrmula adapun iblis yang mŭnipukan marika itu pun tŭlah dichampakkan kadalam tasik api dan blerang, ditŭmpat binatang dan nabi dusta itu ada, sŭrta disŭngsarakan akan dia siang dan malam sampie slama lamanya. Bŭrmula maka kulihat satu arash putih yang bŭsar, maka bumi dan langit pun lŭnyaplah deripada halrat orang yang mŭndudoki diatasnya itu, maka tiadalah marika itu mŭndapat barang tŭmpat bagienya. Lalu kulihatlah sagala orang yang mati, baik kŭchil baik bŭsar itu, bŭrdiri dihalrat Allah: maka sagala kitab pun tŭrbukalah; dan kitab yang lain pun tŭrbukalah, iya itu kitab hayat: maka sagala orang yang mati itu pun dihukumkanlah mŭnurot sagala sŭsuatu yang tŭrsŭbut dalam kitab itu, spŭrti pŭrbuatannya. Maka laut pun mŭngluarkanlah sagala orang mati dalamnya; maka maut dan liang lahad pun mŭngluarkan sagala orang mati dalamnya; maka marika itu pun dihukumkanlah masing masing spŭrti pŭrbuatannya. Maka maut dan liang lahad itupun dibuangkanlah kadalam tasik api, bahwa inilah maut yang kadua. Maka barang sa’orang yang tiada dapati namanya tŭrtulis dalam kitab hayat itu, iya itu dibuangkanlah kadalam tasik api.

WAHYU 20:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar. Dia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun. Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu, ia akan dilepaskan seketika. Aku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Yesus Kristus dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama Kristus selama seribu tahun. Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama. Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan Kristus, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun. Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan. Dia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut. Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung perkhemahan orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka. Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya. Kemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya. Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan takhta itu, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat dalam kitab-kitab itu. Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing. Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api. Sesiapa yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami