WAHYU 16:8-21

WAHYU 16:8-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik. Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah. Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan. Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka. Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya. Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman. “Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!” Kemudian roh-roh itu mengumpulkan semua raja itu di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon. Kemudian malaikat ketujuh menuang isi mangkuknya ke udara. Lalu terdengarlah dari takhta di Rumah Allah, suara kuat berkata, “Sudah selesai!” Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh berderam-derum dan gempa bumi yang dahsyat berlaku. Belum pernah gempa bumi semacam itu berlaku sejak manusia dijadikan. Inilah gempa bumi yang paling dahsyat! Kota besar itu terbelah menjadi tiga bahagian, dan kota-kota semua negeri di bumi juga musnah. Allah tidak lupa akan Babel yang besar itu. Dia memaksa Babel minum dari mangkuk-Nya yang berisi wain kemurkaan Allah yang menyala-nyala. Semua pulau lenyap, dan semua gunung pun tiada lagi. Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu hampir lima puluh kilogram. Oleh itu manusia mengutuki Allah kerana malapetaka hujan batu yang dahsyat itu.

WAHYU 16:8-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Hata maka mŭliekat yang kaampat itupun mŭnuangkanlah pialanya ka’atas matahari, maka dibri kwasa akan dia mŭnghanguskan sagala manusia dŭngan api itu. Maka dihanguskannyalah sagala manusia itu dŭngan hangat yang kras, sŭrta iya mŭnghujatkan nama Allah, yang ampunya kwasa atas sagala bala itu: maka tiada juga marika itu bŭrtaubat sŭrta mŭmuliakan Tuhan. Maka mŭliekat yang kalima itupun mŭnuangkanlah pialanya ka’atas krosi binatang itu, maka krajaannya itu pun pŭnohlah dŭngan kagŭlapan; maka digigitlah ulih marika itu lidahnya, sŭbab sŭngsaranya itu. Sŭrta dihujatkannya nama Allah, yang ampunya langit deri kŭrna sŭngsaranya dan sŭbab tokaknya, maka tiada juga marika itu bŭrtaubat deripada pŭrbuatannya. Maka mŭliekat yang kaanam itupun mŭnuangkanlah pialanya itu kadalam sungie Euphrates yang bŭsar; maka kringlah ayernya, supaya jalan raja raja timor itu disŭdiakan. Maka kulihat tiga orang jin yang nŭjis sŭrupa katak, kluarlah deri mulot naga itu, dan deri mulot binatang itu, dan deri dalam mulot nabi dusta itu. Kŭrna marika itu hantu hantu iblis yang mŭngadakan ajaib ajaib, yang kluar kapada sagala raja raja dibumi, sŭrta sagala dunia, supaya dihimpunkannya marika itu akan prang pada hari bŭsar Allah yang maha kwasa itu. Maka sŭsungguhnya aku kŭlak datang spŭrti pŭnchuri, maka bŭrbahgialah orang yang bŭrjaga, sŭrta mŭmliharakan pakieannya, supaya jangan iya bŭrjalan bŭrtŭlanjang, dan dilihatnya malunya. Maka dihimponkannyalah marika itu dalam suatu tŭmpat yang bŭrnama dalam bahsa Ibrani Armageddon. Maka mŭliekat yang katujoh itupun mŭnuangkanlah pialanya kaudara; maka kluarlah suatu swara bŭsar deri dalam kaabah shorga, deri fihak arash, katanya, Sudahlah. Maka adalah bunyi bŭbrapa suara, dan halalintar, dan kilat; sŭrta gŭmpa yang bŭsar, spŭrti yang bŭlomlah pŭrnah jadi dŭmkian slama manusia diatas bumi, bagitu amat kwasa gŭmpa, dan bagitu bŭsar. Adapun nŭgri bŭsar itu tŭlah tŭrbahgilah tiga bahgian, dan nŭgri nŭgri sagala bangsa itu runtohlah: maka nŭgri Babel yang bŭsar itupun mŭnjadi pŭringatan dihalrat Allah, akan dibri padanya piala yang pŭnoh dŭngan anggor garang morkanya. Maka sagala pulau pun tŭrbanglah, maka gunong gunong pun tiada klihatan lagi. Maka gugorlah deri langit ka’atas manusia hujan batu yang bŭsar bŭsar pun, satu satu spŭrti sa’bhara brat timbangannya; maka manusiapun mŭnghujatlah akan nama Allah, sŭbab bala hujan batu itu, kŭrna piala itu tŭramatlah bŭsar adanya.

WAHYU 16:8-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian malaikat keempat mencurahkan isi mangkuknya ke atas matahari, dan dia diberi kuasa menghanguskan manusia dengan api. Manusia dihanguskan dengan darjah kepanasan yang amat tinggi, lalu mereka mengkufuri nama Allah yang menguasai wabak-wabak itu. Mereka tidak bertaubat dan tidak memuliakan-Nya. Kemudian malaikat kelima mencurahkan isi mangkuknya ke atas takhta binatang itu, lalu kerajaannya diselaputi kegelapan, dan mereka menggigit lidah kerana kesakitan. Mereka mengkufuri Allah yang memerintah syurga kerana kesakitan dan pekung di tubuh mereka. Mereka tidak bertaubat daripada perbuatan mereka. Kemudian malaikat keenam mencurahkan isi mangkuknya ke dalam sebatang sungai besar, iaitu Efrat, lantas airnya kering kontang, untuk menyediakan jalan bagi raja-raja dari Timur. Aku melihat tiga roh jahat seperti rupa katak keluar dari mulut naga itu, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. Mereka itu roh-roh iblis, dan mereka melakukan pelbagai tanda, yang sampai kepada raja-raja di seluruh dunia untuk menghimpunkan mereka bagi peperangan pada hari besar Allah Yang Maha Kuasa. Lihatlah, Aku datang seperti pencuri. Diberkatilah orang yang berwaspada, dan menjaga pakaiannya, supaya dia tidak berjalan dan dilihat orang dalam keadaan telanjang lalu mendapat malu. Dia menghimpunkan raja-raja itu ke tempat yang disebut Harmagedon dalam bahasa Ibrani. Kemudian malaikat yang ketujuh mencurahkan isi mangkuknya ke udara, lalu kedengaran suara lantang dari Bait Suci Allah di syurga, dari takhta, berkata, “Telah selesai!” Kedengaran pelbagai bunyi serta guruh dan kilat sabung-menyabung. Juga berlaku gempa bumi yang paling dahsyat dalam sejarah manusia zaman-berzaman. Ketika itu kota besar itu terbelah tiga, dan kota bangsa asing habis runtuh. Babel yang agung juga tidak ketinggalan menerima mangkuk air anggur kemurkaan Allah. Kemudian setiap pulau lenyap dan gunung tidak ditemukan lagi. Hujan batu besar yang seratus paun beratnya turun dari langit menimpa manusia. Mereka mengkufuri Allah kerana bencana hujan batu yang dahsyat itu.