WAHYU 14:1-20

WAHYU 14:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian aku melihat dan nampak Anak Domba berdiri di atas Bukit Sion. Bersama-sama-Nya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis nama-Nya dan nama Bapa-Nya. Lalu aku mendengar suara dari langit, seperti deruman air terjun dan seperti gemuruh guruh. Bunyi itu seperti muzik daripada para pemain kecapi yang memainkan kecapi. Di hadapan takhta, empat makhluk hidup itu, dan pemimpin-pemimpin itu, berdirilah 144,000 orang itu. Mereka menyanyikan satu nyanyian baru, yang tidak dapat dinyanyikan orang lain. Mereka sahajalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka tidak bersetubuh dengan wanita. Oleh itu mereka murni seperti anak dara. Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja Dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka milik Allah dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Allah. Mereka tidak pernah berbohong; mereka tidak bercela. Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara. Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!” Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, “Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.” Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, “Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan, akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba. Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.” Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati. Kemudian aku mendengar suara dari syurga berkata, “Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah orang yang mati semasa mengabdi kepada Tuhan dengan setia!” “Benar!” jawab Roh Allah. “Mereka tidak berjerih payah lagi, kerana perbuatan baik mereka akan menyertai mereka.” Kemudian aku memandang dan nampak awan putih. Di atas awan itu duduklah sesusuk tubuh yang kelihatannya seperti manusia. Kepala-Nya bermahkota emas dan tangan-Nya memegang sebilah sabit yang tajam. Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah. Dia berseru dengan suara kuat kepada Dia yang duduk di atas awan itu, “Gunakan sabit-Mu dan mulakan kerja menuai, kerana musim menuai sudah tiba! Tuaian di bumi sudah masak dan sudah tiba masanya untuk dituai!” Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke bumi, dan tuaian di bumi dikumpulkan. Kemudian aku nampak satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah di syurga. Dia juga memegang sebilah sabit yang tajam. Setelah itu, satu lagi malaikat yang berkuasa atas api, keluar dari mazbah. Dia berseru dengan suara kuat kepada malaikat yang memegang sebilah sabit tajam itu, “Gunakanlah sabitmu dan sabit buah anggur di ladang anggur di atas bumi, kerana buah anggur sudah masak!” Oleh itu malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan menyabit buah anggur dari batangnya, lalu melempar buah anggur ke dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan Allah. Buah anggur diperas di luar kota, dan dari alat pemeras anggur itu mengalirlah darah seperti air bah, sejauh tiga ratus kilometer dan sedalam kira-kira dua meter.

WAHYU 14:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA hieran, kulihat pula sa’ekor anak Domba tŭrdiri diatas bukit Zion, maka dŭngan dia itu adalah sa’ratus ampat puloh ampat ribu orang yang ada tŭrsurat nama ayahnya didahinya. Maka kudŭngarlah suatu swara deri langit spŭrti bunyi ayer banyak, dan spŭrti bunyi halalintar yang bŭsar; dan kudŭngar pula swara orang bŭrkŭchapi yang mŭmŭtek kŭchapinya. Maka bŭrnyanyilah marika itu dŭngan suatu shayer bahru dihadapan arash itu, dan dihadapan ampat ekor binatang sŭrta orang tua tua itu, maka sa’orang juapun tiada bulih blajar shayer itu, hanya sa’ratus ampat puloh ampat ribu orang yang tŭlah tŭrtŭbus deri antara orang isi bumi itu. Maka marika itulah orang yang tiada dichaboli ulih pŭrampuan, kŭrna marika itu tŭruna adanya; maka marika itulah orang yang mŭngikot anak Domba itu barang kamana iya pŭrgi. Maka marika itulah yang tŭrtŭbus deri antara manusia, mŭnjadi buah bungaran kapada Allah dan anak Domba itu. Maka tiadalah didapati barang tipu deri mulotnya, kŭrna marika itu dŭngan tiada bŭrsalah dihalrat arash Allah. Arkian maka kulihat pula sa’orang mŭliekat lain tŭrbang pada sama tŭngah langit itu, maka ada padanya Injil yang kŭkal, akan dimashorkannya dia itu kapada orang orang yang mŭngdiami diatas bumi, dan pada sagala bangsa, dan katuronan, dan bahsa, dan kaum. Katanya dŭngan swara yang nyaring, Takotilah akan Allah, dan muliakanlah akan dia; kŭrna waktu hukumnya tŭlah sampie; maka sŭmbahlah ulihmu akan dia yang tŭlah mŭnjadikan langit, dan bumi, dan laut, sŭrta sagala mata ayer. Maka adalah mŭngikot akan dia sa’orang mŭliekat pula, katanya, Babel tŭlah runtohlah, runtohlah, nŭgri yang bŭsar itu, sŭbab iya tŭlah mŭnjadikan sagala bangsa mŭminum anggor morka deripada zinahnya. Shahadan mŭliekat yang katiga mŭngikot marika itu pun katanya dŭngan swara yang nyaring, Jikalau barang siapa yang mŭnyŭmbah akan binatang dan gambarnya, sŭrta mŭndapat tandah pada dahinya, atau ditangannya, Maka dapat tiada orang itu kŭlak mŭminum deripada ayer anggor morka Allah, yang tŭlah dituang dŭngan tiada bŭrchampor kadalam chawan morkanya; maka iya itu kŭlak akan disŭngsarakan dŭngan api dan bŭlerang, dihalrat mŭliekat mŭliekat yang suchi, dan dihalrat anak Domba itu. Maka asap sŭngsara marika itu kŭlak akan naik sampie slama lamanya: maka tiadalah pŭrhŭntian bagienya pada siang dan malam, iya itu barang siapa yang mŭnyŭmbah akan binatang dan gambarnya, dan barang siapa yang tŭlah mŭmakie tanda namanya. Maka inilah sabar orang orang salih: dan inilah orang orang yang mŭmliharakan hukum hukum Allah, dan iman akan Isa. Maka kudŭngar suatu swara deri langit, katanya padaku, Tulislah, Bŭrbahgialah kiranya orang orang mati yang tŭlah mati dalam bŭrkat Tuhan deripada masa ini: Bahkan kata Roh, supaya marika itu bulih bŭrhŭnti deripada kalŭlahannya; maka pŭrbuatannya itupun mŭngikotlah akan dia. Maka hieran, kulihat suatu awan putih, maka diatas awan itu ada sa’orang dudok spŭrti Anak manusia; adalah dikŭpalanya suatu mahkota yang kaamasan, dan pada tangannya suatu sabit yang tajam. Maka kluarlah pula sa’orang mŭliekat yang lain deri dalam ka’abah, bŭrtriak dŭngan swara yang nyaring kapada orang yang dudok diatas awan itu, Sabitkanlah sabitmu itu, tuwielah; kŭrna kutika angkau mŭnuwie itupun tŭlah sampielah; kŭrna pŭnuwiean dibumi itupun tŭlah masaklah. Maka orang yang dudok diatas awan itupun mŭnyabitkanlah sabitnya dibumi, maka bumi itupun tŭrtuwielah. Maka kluarlah pula sa’orang mŭliekat yang lain deri dalam ka’abah yang dishorga, maka iya itupun adalah suatu sabit yang tajam. Maka kluarlah sa’orang mŭliekat yang lain pula deri pada tŭmpat pŭrsŭmbahan itu yang ada bŭrkwasa atas api, sambil bŭrtriaklah dŭngan swara yang nyaring kapada orang yang ada bŭrsabit tajam itu, katanya, Sabitkanlah sabitmu yang tajam itu, kampongkanlah gugos anggor yang dibumi itu, kŭrna buahnya tŭlah sangat masak. Maka mŭliekat itupun mŭnyabitkanlah sabitnya kabumi, lalu dikampongkannyalah gugos anggor yang dibumi itu, sŭrta dichampakkannya kŭdalam apitan anggor bŭsar morka Allah itu. Adapun apitan anggor itu dipijak pijaknya diluar nŭgri, maka kluarlah darah deripada apitan anggor itu, mŭskipun sampie dikang kuda sa’ribu anam ratus pŭmanah jauhnya.

WAHYU 14:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian tiba-tiba aku melihat Anak Domba berdiri di puncak Gunung Sion, dan bersama-sama-Nya seratus empat puluh empat ribu orang dengan nama-Nya dan nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka. Aku mendengar suara dari syurga, seperti bunyi air menderu, dan seperti bunyi guruh yang kuat, dan suara yang kudengar itu seperti bunyi daripada pemain-pemain memetik kecapi. Mereka menyanyikan suatu nyanyian yang terasa baru di hadapan takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Tiada siapa pun dapat mempelajari nyanyian itu kecuali seratus empat puluh empat ribu orang yang ditebus dari bumi. Mereka ini tidak pernah menajiskan diri dengan perempuan kerana mereka menjaga kesucian mereka. Mereka mengikut Anak Domba ke mana-mana Dia pergi. Mereka telah ditebus daripada kalangan manusia, sebagai persembahan hasil pertama bagi Allah dan Anak Domba. Mulut mereka tiada kata-kata bohong, dan mereka tiada cacat cela. Kemudian aku melihat satu lagi malaikat terbang di tengah langit, membawa Injil yang kekal untuk disampaikan kepada penghuni bumi dan kepada setiap bangsa, suku, bahasa dan kaum. Katanya dengan suara lantang, “Takutilah Allah dan muliakan Dia, kerana sudahlah sampai saat penghakiman-Nya; dan sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi, laut dan mata air.” Satu lagi malaikat mengikutnya, sambil berkata, “Babel telah runtuh, telah runtuh, kota yang besar itu telah memberi semua bangsa minum air anggur kemurkaan Allah terhadap pencabulan mereka.” Mereka diikut oleh satu lagi malaikat yang berkata dengan suara lantang, “Jika sesiapa menyembah binatang itu dan patungnya, dan menerima tandanya di atas dahi atau tangan, dia juga akan minum air anggur kemurkaan Allah, yang dituangkan tanpa ditambah air ke dalam cawan murka-Nya itu. Dia akan dikenakan azab api dan belerang di hadapan para malaikat yang suci dan di hadapan Anak Domba. Asap api yang menyeksa mereka itu akan naik berkepul-kepul selama-lamanya. Mereka tidak akan berehat siang malam, kerana mereka menyembah binatang itu dan patungnya serta menerima tanda namanya.” Yang dituntut di sini ialah ketabahan orang salih yang mengikut perintah Allah serta beriman kepada Yesus. Aku mendengar suara dari syurga berkata, “Tuliskanlah: Dari saat ini diberkatilah semua orang yang mati dalam Tuhan.” “Ya,” kata Roh, “supaya mereka dapat berehat daripada penat lelah, dan hasil usaha mereka menyertai mereka.” Tiba-tiba aku melihat awan putih dan di atasnya duduk seorang yang rupanya seperti Anak Manusia, bermahkota emas dan memegang sabit yang tajam. Muncul satu lagi malaikat dari Bait Suci sambil berseru lantang kepada Dia yang duduk di atas awan, “Gunakanlah sabit-Mu, tuailah, kerana sudah sampai waktunya Engkau menuai; tuaian dunia sudah masak.” Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke atas bumi, dan bumi pun dituai. Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Bait Suci yang di syurga, juga membawa sabit tajam. Menyusul pula malaikat lain yang keluar dari mazbah dan menguasai api, sambil berseru nyaring kepada yang memegang sabit tajam, “Gunakanlah sabitmu yang tajam itu, kumpulkan segala gugusan anggur di bumi, kerana anggurnya sudah cukup masak.” Maka malaikat itu menggunakan sabitnya untuk mengumpulkan gugusan anggur di bumi, dimasukkannya ke dalam pengirik kemurkaan Allah. Pengirik itu diinjak di luar kota, lalu darah mengalir keluar, setinggi kekang kuda dan sejauh dua ratus batu.