WAHYU 12:1-17

WAHYU 12:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian terlihat di langit sesuatu yang ajaib dan luar biasa: Seorang wanita berpakaian matahari dan kakinya beralaskan bulan. Dia memakai sebuah mahkota yang terdiri daripada dua belas bintang, pada kepalanya. Dia sedang mengandung dan masa bersalin sudah tiba. Oleh itu, dia berteriak kerana kesakitan. Lalu sesuatu yang ajaib kelihatan pula di langit: Seekor naga merah yang besar sekali mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Setiap kepala memakai sebuah mahkota. Dengan ekornya naga itu menyeret sepertiga daripada bintang-bintang di langit dan melemparkannya ke bumi. Naga itu berdiri di hadapan wanita yang sedang bersalin, kerana hendak memakan anaknya, sebaik sahaja bayi itu lahir. Kemudian wanita itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah dan menguasai semua bangsa dengan tangan besi. Tetapi anak itu direnggut daripada wanita itu dan dibawa kepada Allah yang duduk di atas takhta. Wanita itu lari ke padang gurun, ke tempat yang telah disediakan oleh Allah baginya. Di situ dia akan dipelihara selama 1,260 hari. Kemudian peperangan berlaku di syurga. Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu. Naga itu, yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya melawan Mikhael. Tetapi naga itu dikalahkan. Naga itu dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. Naga besar itu dibuang dari syurga. Itulah ular tua yang bernama Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia. Dia dibuang ke bumi dengan semua malaikatnya. Kemudian aku mendengar suara lantang di syurga berkata, “Sekaranglah masanya Allah menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya sebagai Raja! Sekarang Penyelamat yang diutus-Nya itu menunjukkan kekuasaan-Nya, kerana yang menuduh saudara-saudara kita di hadapan Allah siang dan malam, sudah dibuang dari syurga. Saudara-saudara kita telah mengalahkan dia dengan darah Anak Domba dan dengan berita daripada Allah yang diisytiharkan mereka. Mereka tidak cuba menyelamatkan diri, tetapi rela mengorbankan nyawa. Oleh itu, bersukacitalah, hai syurga dan semua yang tinggal di syurga! Tetapi malanglah bumi dan laut, kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” Ketika naga itu menyedari dirinya sudah dibuang ke bumi, naga itu mula mengejar wanita yang telah melahirkan anak lelaki itu. Tetapi wanita itu diberikan sepasang sayap burung helang yang besar, supaya dia dapat terbang ke tempatnya di padang gurun. Di situ dia akan dipelihara selama tiga tahun setengah, supaya terhindar daripada serangan naga itu. Kemudian, dari mulutnya naga itu menyemburkan air seperti aliran sungai ke arah wanita itu, untuk menghanyutkan dia. Tetapi bumi menolong wanita itu. Bumi membuka mulut dan menelan air yang keluar dari mulut naga. Naga itu sangat marah terhadap wanita itu, sehingga memerangi semua keturunan lain daripada wanita itu. Mereka itu semua orang yang taat kepada perintah Allah dan setia kepada ajaran yang dinyatakan oleh Yesus.

WAHYU 12:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA klihatanlah suatu ajaib yang bŭsar dilangit; iya itu sa’orang pŭrampuan mŭmakie matahari, dan bulan pun dibawah kakinya, maka diatas kŭpalanya suatu mahkota deripada dua blas bintang: Maka pŭrampuan itu sŭbab mŭngandong, lalu bŭrtriaklah handak bŭrsalin, maka sakitlah handak branak. Shahadan klihatanlah pula suatu ajaib yang lain dilangit; maka heiran, ada sa’ekor naga bŭsar merah, ada bŭrkŭpala tujoh dan sa’puloh chula, maka tujoh mahkota pula dikŭpalanya. Ekornya mŭnyeret tiga bahgian bintang dilangit, sŭrta dichampakkannya kabumi: maka bŭrdirilah naga itu dihadapan pŭrampuan yang hampir branak itu, sŭrta handak mŭnŭlan akan anaknya itu sŭrta jadi. Maka parŭmpuan itupun branaklah sa’orang laki laki, yang akan mŭmrentahkan sagala bangsa dŭngan tongkat bŭsi: maka anaknya itupun disambarlah dibawalah kapada Allah, dan kaarashnya. Maka pŭrampuan itupun bŭrlarilah kapadang bŭlŭntara, maka disanalah dijadikan Allah suatu tŭmpat bagienya, supaya dipliharakan ulih orang akan dia disana sa’ribu dua ratus anam puloh hari lamanya. Maka jadilah pŭprangan dilangit, bahwa Mikael dŭngan sagala mŭliekatnya itupun bŭrpranglah dŭngan naga itu; dan naga itupun sŭrta sagala mŭliekatnya bŭrpranglah. Maka tiadalah juga mŭnang; maka tŭmpatnya pun tiadalah dapat lagi dilangit. Maka naga yang bŭsar itupun dibuangkanlah kluar, iya itu ular bŭsar yang tua itu, yang bŭrnama Iblis, dan Shietan, yang mŭnipu sagala dunia; maka iya itu dibuangkanlah kadalam bumi, dan sagala mŭliekatnya pun dibuangkanlah sŭrtanya. Maka kudŭngarlah pula suatu bunyi swara bŭsar katanya dalam shorga, Maka skarang bahru datang slamat, dan kuat, dan krajaan Allah kami, dan kwasa Almasihnya; kŭrna pŭnudoh sagala saudara kami, yang mŭnudohi marika itu dihadapan Allah kami pada siang dan malam itu, tŭlah dibuangkanlah kŭbawah. Maka dialahkan ulih marika itu akan dia dŭngan darah anak Domba itu, dan dŭngan pŭrkataan yang disaksikan ulih marika itu; maka tiadalah marika itu sayangkan nyawanya sampie mati. Maka sŭbab itu bŭrsuka sukalah kiranya shorga, sŭrta kamu yang mŭngdiami dia. Karamlah bagie sagala yang mŭngdiami bumi, dan laut; kŭrna iblis itu tŭlah turonlah pada kamu dŭngan morka yang bŭsar, sŭbab dikŭtahuinya bahwa kutika yang ada padanya itu sengkat adanya. Maka apabila dilihat ulih naga itu iya tŭlah dibuangkan kabumi, diannyayakannyalah akan pŭrampuan yang tŭlah branak laki laki itu. Maka dikurniakanlah kapada pŭrampuan itu dua sayap burong nazar yang bŭsar, supaya iya bulih mŭlayang kapadang hutan, katŭmpatnya, yang ditŭmpat iya akan dipliharakan dalam satu waktu, dan dua waktu, dan sŭtŭngah waktu, deri hadapan muka ular itu. Maka disŭmborkanlah ular itu deri mulotnya ayer spŭrti ayer bah diblakang pŭrampuan itu, supaya bulih dianyutkan ulih ayer bah itu akan dia. Maka bumi pun mŭnulonglah akan pŭrampuan itu, sŭrta dibukakannya mulotnya, lalu ditŭlannyalah ayer bah yang disŭmborkan ulih naga deri mulotnya itu. Maka naga itupun morkalah akan pŭrampuan itu, lalu pŭrgilah iya handak bŭrprang dŭngan bŭnihnya yang ada tŭrtinggal, yang mŭmliharakan hukum hukum Allah, dan yang ada saksi derihal Isa Almasih.

WAHYU 12:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Suatu tanda besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan sebuah mahkota dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya. Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan. Lantas suatu tanda muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh, dan di atas kepalanya ada tujuh mahkota. Naga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan tombak besi. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya. Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari. Kemudian perang tercetus di syurga. Mikhail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya. Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. Dengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi. Kemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga, “Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan Allah kita, dan kuasa Kristus-Nya telah tiba; kerana penuduh saudara-saudara kita, yang telah menuduh mereka siang malam di hadapan Allah kita telah disingkirkan. Mereka telah menumpaskannya dengan darah Anak Domba dan dengan kata-kata kesaksian mereka, dan mereka tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati. Oleh itu, bergembiralah wahai syurga dan kamu semua yang tinggal di dalamnya! Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut! Iblis telah turun kepadamu, dalam keadaan sangat berang, kerana ia tahu masanya sudah singkat.” Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun memburu perempuan yang melahirkan anak lelaki itu. Tetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu. Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu. Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu. Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Yesus Kristus.