MAZMUR 92:1-15
MAZMUR 92:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur. Lagu untuk hari Sabat. Alangkah baiknya bersyukur kepada-Mu, ya TUHAN, menyanyi untuk memuji Allah Yang Maha Tinggi, mengisytiharkan kasih-Mu pada setiap pagi, dan kesetiaan-Mu pada setiap malam, dengan iringan alat muzik yang bertali, dan dengan iringan kecapi. Perbuatan-Mu, ya TUHAN, menggembirakan aku; aku menyanyi dan bergirang kerana karya-Mu. Ya TUHAN, sungguh besar perbuatan-Mu! Sungguh dalam fikiran-Mu! Orang bodoh tidak dapat mengertinya, orang dungu tidak dapat memahaminya; orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput, dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur; namun mereka akan dibinasakan sama sekali, kerana Engkau, ya TUHAN, penguasa tertinggi selama-lamanya. Kami tahu bahawa musuh-Mu akan dimusnahkan, dan semua orang jahat akan dikalahkan. Engkau telah menjadikan aku sekuat lembu jantan yang liar; Engkau telah memberkati aku dengan kebahagiaan. Aku telah melihat kekalahan musuhku, dan mendengar teriakan orang jahat yang menyerang aku. Orang jujur akan menjadi makmur seperti pokok palma; mereka akan menjadi kuat seperti pokok sedar di Lebanon. Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN, seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita, dan tetap menghasilkan buah pada masa tua, dan sentiasa menghijau serta kuat.
MAZMUR 92:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sungguh baik mengucap syukur kepada TUHAN dan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, wahai Yang Maha Tinggi, mengisytiharkan kasih-Mu sewaktu pagi dan kesetiaan-Mu setiap malam, diiringi alat muzik bertali sepuluh, gambus dan irama kecapi. Kerana Engkau, ya TUHAN, telah membuatku sukacita dengan ciptaan-Mu; aku akan berbangga dengan hasil kerja tangan-Mu. Ya TUHAN, betapa agung hasil kerja-Mu, fikiran-Mu sungguh dalam! Orang cetek akal tidak mengetahuinya, dan orang bodoh tidak memahaminya, apabila orang zalim tumbuh seperti rumput dan apabila semua pembuat dosa hidup mewah, ini adalah supaya mereka dimusnahkan untuk selama-lamanya. Tetapi Engkau, ya TUHAN, Maha Tinggi selama-lamanya. Kerana sesungguhnya, musuh-Mu, ya TUHAN, kerana sesungguhnya musuh-Mu akan binasa; semua pembuat dosa akan kucar-kacir. Tetapi Engkau telah meninggikan tandukku seperti lembu liar; aku telah diurapi dengan minyak yang baru. Mataku telah melihat kehendakku berlaku kepada musuhku; telingaku telah mendengar kehendakku berlaku kepada orang zalim yang bangkit menentangku. Orang yang benar akan subur seperti pokok palma, dia akan tumbuh seperti pokok araz di Lebanon; semua yang ditanam di rumah TUHAN, akan subur di pekarangan Allah kita. Mereka akan tetap berbuah pada usia tua, mereka akan tetap segar dan subur, untuk mengisytiharkan bahawa TUHAN adalah tulus; Dia Batu Pejalku, dan Dia sentiasa benar.