MAZMUR 9:1-10
MAZMUR 9:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud. Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan. Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi. Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik; mereka jatuh tersandung lalu mati. Engkau memerintah sebagai hakim yang adil, dan Engkau telah membela perkaraku. Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi. Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali. Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama. TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan.
MAZMUR 9:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan, Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya TUHAN Maha Tinggi. Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu. Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil. Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya. Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan. Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman. Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama. TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan. Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu.