MAZMUR 89:1-52
MAZMUR 89:1-52 Alkitab Berita Baik (BM)
Sajak Etan, orang Ezrahi. Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal; aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya. Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal, dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit. Engkau berfirman, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku; Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku: ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya, seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’ ” Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib, dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN. Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN; tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau. Engkau dihormati di sidang makhluk suci, dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu. Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau; Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN. Engkau memerintah laut yang bergelora, Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat. Engkau meremukkan dan membunuh Rahab, makhluk raksasa itu, dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu. Bumi dan langit milik-Mu, dunia dan segala isinya ciptaan-Mu; Engkau mencipta utara dan selatan; Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu. Betapa besarnya kuasa-Mu, dan betapa hebatnya kekuatan-Mu! Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan; kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu. Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian, orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN. Sepanjang hari mereka bergembira, dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu. Engkau memberi kami kemenangan yang besar; demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya. Engkau, TUHAN memilih pelindung kami; Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja. Dahulu kala dalam suatu penglihatan, Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia, “Aku telah menolong seorang pahlawan; Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat. Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja, dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara. Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia, kuasa-Ku akan menguatkan dia. Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia, orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia. Aku akan menghancurkan lawannya, dan membunuh semua yang membenci dia. Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya; Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya. Aku akan meluaskan kerajaannya dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat. Dia akan berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah Bapaku dan Allahku; Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’ Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung, dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi. Aku akan tetap mengasihinya, dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya. Seorang keturunannya akan bertakhta, dan kerajaannya akan kukuh seperti langit. Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku, dan tidak hidup menurut peraturan-Ku; jika mereka mensia-siakan arahan-Ku, dan mengabaikan perintah-Ku, Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka, dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka. Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud, Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya. Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia, ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya. Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci; Aku tidak akan berdusta kepada Daud. Dia akan sentiasa mempunyai keturunan, dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada. Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan, saksi yang setia di langit.” Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu; Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda. Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu, dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur. Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya, dan membiarkan kubu-kubunya rosak. Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya; semua jirannya memperolok-olokkan baginda. Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya, dan menyebabkan mereka semua gembira. Engkau membuat senjatanya tidak berguna, dan membiarkan baginda kalah dalam perang. Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang, dan mencampakkan takhtanya ke tanah. Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya, dan Engkau mempermalukan baginda. Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi? Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api? Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia; ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana. Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati? Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur? Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu? Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud? Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela; bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa. Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN! Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.
MAZMUR 89:1-52 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan menyanyi tentang kasih TUHAN selama-lamanya; dengan mulutku akan kuceritakan kesetiaan-Mu kepada semua keturunan zaman-berzaman. Kerana aku telah berkata, “Kasih-Mu akan kekal selama-lamanya, kesetiaan-Mu akan Kauteguhkan hingga ke langit.” Engkau berkata, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang yang Kupilih, Aku telah berjanji kepada hamba-Ku Daud, ‘Benihmu akan Kuteguhkan selama-lamanya dan takhtamu akan Kupeliharakan untuk keturunanmu zaman-berzaman.’ ” Sela Seisi langit akan memuji keajaiban-Mu, ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga dalam perhimpunan orang yang hidup suci. Kerana siapa di langit yang dapat dibandingkan dengan TUHAN? Siapa antara anak orang berkuasa dapat disamakan dengan TUHAN? Allah amat ditakuti dalam perhimpunan orang yang hidup suci; dan amat dihormati oleh semua yang di sekeliling-Nya. Ya TUHAN, Allah alam semesta, siapakah yang berkuasa seperti-Mu? Ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga di sekeliling-Mu. Engkau menguasai gelora laut; apabila gelombangnya tinggi, Engkau menenangkannya. Engkau telah meremukkan Rahab, seperti manusia yang dibunuh; Engkau telah menyebabkan musuh-Mu bertempiaran dengan lengan-Mu yang perkasa. Langit milik-Mu, bumi juga milik-Mu; dunia dengan segala isinya, Engkau yang menjadikannya. Utara dan selatan, Engkau yang menciptanya; Gunung Tabor dan Hermon bergembira dengan nama-Mu. Engkau mempunyai lengan yang perkasa; tangan-Mu kuat dan tangan kanan-Mu tinggi. Perbenaran dan keadilan adalah asas takhta-Mu; kasih dan kesetiaan berjalan di hadapan-Mu. Diberkatilah orang yang mengenal bunyi bahagia itu, mereka melangkah, ya TUHAN, dalam cahaya wajah-Mu. Dengan nama-Mu mereka bergembira sepanjang hari; dan dalam perbenaran-Mu mereka ditinggikan. Kerana Engkau kemuliaan kekuatan mereka, dan dengan keredaan-Mu tanduk kami ditinggikan. Perisai kami milik TUHAN, dan raja kami milik Yang Maha Suci Allah TUHAN Israel. Kemudian Engkau berfirman melalui satu penglihatan kepada orang warak-Mu: “Aku telah memberi pertolongan kepada seorang yang perkasa; Aku telah mengangkat tinggi seorang yang dipilih daripada kalangan umat. Aku telah menemui hamba-Ku Daud; dengan minyak suci-Ku telah Kuurapi dia. Dengannya tangan-Ku akan diteguhkan; dan lengan-Ku akan menguatkan dia. Musuh tidak akan dapat memperdayanya; dan anak kedurjanaan tidak akan dapat menyakitinya. Aku akan menumbangkan musuhnya di hadapan matanya dan menyeksa mereka yang membencinya. Kesetiaan-Ku dan kasih-Ku akan menyertainya, dan dengan nama-Ku tanduknya akan ditinggikan. Juga Aku akan meletakkan laut di bawah tangannya, dan sungai-sungai di bawah tangan kanannya. Dia akan berseru kepada-Ku, ‘Engkau Bapaku, Allahku, dan Batu Pejal, Penyelamatku.’ Aku juga akan menjadikannya anak sulung-Ku, tertinggi antara raja-raja di bumi. Kasih-Ku akan Kuperuntukkan baginya untuk selama-lamanya, dan perjanjian-Ku akan berdiri teguh dengannya. Benihnya juga akan Kukekalkan selama-lamanya, dan takhtanya berterusan seperti syurga. Jika anak cucunya meninggalkan hukum-Ku dan tidak hidup mengikut peraturan-Ku, jika mereka melanggar ketetapan-Ku dan tidak mematuhi perintah-perintah-Ku, Maka Aku akan menghukum keingkaran mereka dengan gada, dan dosa mereka dengan cemeti; namun demikian, kasih-Ku tidak akan Kutarik sepenuhnya daripada mereka, dan kesetiaan-Ku tidak akan Kubiarkan lupus. Perjanjian-Ku tidak akan Kumungkiri dan Aku tidak akan mengubah firman yang telah terbit daripada bibir-Ku. Aku telah bersumpah demi kesucian-Ku — maka Aku tidak akan berdusta kepada Daud — benihnya akan kekal selama-lamanya dan takhtanya seperti matahari di hadapan-Ku; bertapak selama-lamanya seperti bulan, seperti saksi setia di langit.” Sela Tetapi Engkau telah menyingkirkan dan membenci, Engkau telah murka akan orang yang Kauurapi. Engkau telah membatalkan perjanjian dengan hamba-Mu; Engkau telah mencemarkan mahkotanya dengan menghumbankannya ke tanah. Engkau telah memecahkan semua pagarnya; Engkau telah meranapkan semua bentengnya. Semua orang yang lalu-lalang menyamun dia; dia menjadi celaan jiran-jirannya. Engkau telah mengangkat tinggi tangan kanan seterunya; Engkau telah menyebabkan semua musuhnya bergembira. Engkau telah membengkokkan hujung pedangnya dan tidak menyokongnya dalam pertempuran. Engkau telah meluputkan kemuliaannya dan melontarkan takhtanya ke tanah. Usia mudanya telah Kausingkatkan; Engkau telah memalukannya. Sela Betapa lama, ya TUHAN? Adakah Engkau akan menyembunyikan diri-Mu selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu akan terus menyala seperti api? Ingatlah betapa singkat usiaku. Adakah Engkau telah mencipta anak-anak manusia untuk hidup sia-sia? Manusia manakah dapat hidup dan tidak menemui maut, dapatkah dia melepaskan nyawanya daripada kuasa kubur? Sela Ya Tuhan, di manakah kasih-Mu yang dahulu, yang telah Kaujanjikan kepada Daud dalam kesetiaan-Mu? Ingatlah, ya Tuhan, celaan terhadap hamba-hamba-Mu, betapa dadaku menanggung celaan daripada segala bangsa, musuh-Mu telah mencela, ya TUHAN, mereka telah mencela jejak langkah orang yang telah Kauurapi. Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin, Amin.