MAZMUR 88:1-18

MAZMUR 88:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Sebuah lagu. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat Leanot. Sajak Heman, orang Ezrahi. Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku, pada waktu siang aku berseru kepada-Mu, pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu. Dengarkanlah doaku; dengarkanlah seruanku minta tolong. Begitu banyak kesusahan menimpa aku; maut sudah di ambang pintu. Aku seperti orang yang menemui maut; segala kekuatanku sudah hilang. Aku ditinggalkan di tengah-tengah orang mati; aku umpama orang terbunuh yang terbaring di kubur, orang yang telah Engkau lupakan sama sekali, yang tidak dapat Engkau tolong lagi. Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam, ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam. Engkau sangat murka kepadaku, kemurkaan-Mu bagaikan ombak yang memukul aku. Engkau menyebabkan rakan-rakanku meninggalkan aku; Engkau menyebabkan mereka jijik akan aku. Aku terkurung dan tidak dapat melarikan diri; mataku kabur kerana menderita. Ya TUHAN, setiap hari aku berseru kepada-Mu, aku berdoa dengan menadahkan tangan kepada-Mu. Adakah Engkau melakukan mukjizat bagi orang yang telah mati? Adakah mereka bangkit dan memuji Engkau? Adakah kasih-Mu disebut orang di dalam kubur, ataupun kesetiaan-Mu disebut di tempat kebinasaan? Adakah mukjizat-Mu kelihatan di tempat yang gelap itu, ataupun kebaikan-Mu kelihatan di negeri yang sudah dilupakan orang? Ya TUHAN, aku minta pertolongan-Mu; setiap pagi aku berdoa kepada-Mu. Ya TUHAN, mengapakah Engkau menolak aku? Mengapakah Engkau menyembunyikan diri-Mu daripadaku? Sejak kecil lagi aku menderita dan hampir mati; aku kehabisan tenaga menanggung hukuman-Mu. Kemurkaan-Mu yang hebat menimpa aku, serangan-Mu yang dahsyat membinasakan aku. Semuanya itu seperti banjir yang melanda aku sepanjang hari, dan mengepung aku dari segala arah.

MAZMUR 88:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkanku, aku telah berseru siang malam di hadapan-Mu. Biarlah doaku datang ke hadirat-Mu; condongkan telinga-Mu kepada seruanku. Kerana jiwaku dipenuhi kesusahan dan hidupku semakin hampir ke kubur. Aku dikira serupa dengan mereka yang masuk ke kubur; aku seperti orang yang tidak bermaya. Hanyut di antara orang mati, seperti orang terbunuh yang terbaring di dalam kubur, yang tidak Kauingati lagi, dan telah tersingkir daripada tangan-Mu. Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam, dalam kegelapan, jauh di dalam. Kemurkaan-Mu berat menekanku; dan Engkau telah menimpakan segala azab-Mu seperti ombak ke atasku. Sela Engkau telah menjauhkan semua kenalanku daripadaku Engkau telah menjadikan aku jijik di mata mereka. Aku terkurung, tidak dapat keluar; mataku semakin pudar kerana kesakitan derita yang kutanggung. Ya TUHAN, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari; aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu. Akan Kaubuatkah mukjizat untuk orang mati? Akan bangkitkah orang mati lalu memuji-Mu? Sela Akan disebutkah kasih-Mu di kubur, atau kesetiaan-Mu di tempat Kemusnahan? Akan dikenalkah mukjizat-Mu dalam kegelapan, dan perbenaran-Mu di alam kelupaan? Tetapi kepada-Mu aku telah berseru, ya TUHAN; dan pada waktu pagi doaku datang ke hadirat-Mu. Ya TUHAN, mengapa Kausingkirkan jiwaku, mengapa Kausembunyikan wajah-Mu daripadaku? Aku telah ditimpa azab dan hampir mati sejak usia mudaku; aku menderita ketakutan kerana-Mu, aku resah gelisah. Kemurkaan-Mu yang dahsyat menimpaku; ketakutan kepada-Mu membinasakanku. Segalanya mengepungku sepanjang hari seperti air; segalanya menenggelamkan aku. Orang tersayang dan sahabat telah Kaujauhkan daripadaku; dan kenalanku dalam kegelapan.