MAZMUR 78:38-51

MAZMUR 78:38-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Namun Dia, yang penuh belas kasihan; mengampunkan dosa mereka dan tidak memusnahkan mereka. Ya, berkali-kali Dia memalingkan kemarahan-Nya daripada mereka dan tidak membiarkan kemurkaan-Nya menyala. Kerana Dia ingat bahawa mereka hanyalah manusia, sehembus nafas yang berlalu dan tidak muncul lagi. Betapa kerapnya mereka berontak terhadap Dia ketika di gurun dan menyedihkan-Nya semasa di padang pasir! Ya, berkali-kali mereka menduga Allah; dan membatasi Yang Kudus, Allah Israel. Mereka tidak ingat akan kuasa-Nya — hari Dia menyelamatkan mereka daripada musuh, apabila Dia melakukan mukjizat-Nya di Mesir, dan perbuatan-Nya yang menakjubkan di padang Zoan. Menukarkan air sungai mereka menjadi darah, juga anak-anak air mereka; maka mereka tidak dapat minum. Dia menghantar lalat yang banyak untuk memakan mereka, dan katak untuk memusnahkan mereka. Dia menyebabkan tanaman mereka dimakan ulat, dan hasil usaha mereka dimakan belalang. Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu dan pokok-pokok ara mereka dengan air batu. Dia membiarkan ternakan mereka mati ditimpa hujan batu, dan kawanan domba mereka disambar kilat. Dia melemparkan kepada mereka kemarahan, kemurkaan, keberangan, dan kesusahan — dengan menghantar para malaikat pemusnah dalam kalangan mereka. Dia membuat lorong untuk kemarahan-Nya; Dia tidak mengecualikan jiwa mereka daripada maut tetapi membiarkan wabak penyakit meragut nyawa mereka. Dan memusnahkan semua anak lelaki sulung orang Mesir, kekuatan pertama mereka di perkhemahan Ham.