MAZMUR 75:1-10
MAZMUR 75:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Asaf. Lagu. Kami memuji-Mu, ya Allah, kami bersyukur kepada-Mu. Kami mengisytiharkan keagungan-Mu, dan memberitakan perbuatan-Mu yang mengagumkan. Allah berfirman, “Pada waktu yang Aku tentukan, Aku akan menghakimi orang dengan saksama. Sungguhpun bumi bergoncang dan semua penduduknya gementar, Aku akan tetap mengukuhkan asas bumi. Aku memberitahu orang jahat supaya jangan sombong; aku memberitahu mereka supaya jangan bercakap besar.” Keadilan tidak datang dari timur atau barat, dari utara atau selatan; Allah sendirilah yang menjadi hakim, ada yang dihukum dan ada yang dibebaskan. TUHAN memegang cawan yang berisi kemurkaan-Nya seperti wain pekat. Dia menuangkan isinya supaya diminum semua orang jahat; mereka minum sampai habis semuanya. Tetapi aku tidak akan berhenti memberitakan Allah Yakub, ataupun menyanyikan pujian kepada-Nya.
MAZMUR 75:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Allah, kami mengucap syukur, kerana hasil kerja-Mu yang menakjubkan; mengisytiharkan bahawa nama-Mu dekat. Engkau berkata, “Apabila Aku memilih masa yang wajar; Aku akan menghakimi dengan adil. Bumi dan semua penghuninya dilarutkan, aku memacakkan tiang-tiang cukup teguh. Sela Aku telah berfirman kepada orang yang angkuh, ‘Janganlah melakukan sesuatu dengan cakap besar,’ dan kepada orang zalim, ‘Janganlah mengangkat tanduk. Janganlah mengangkat tandukmu tinggi-tinggi; janganlah bercakap dengan bertegang urat leher.’ ” Kerana peninggian tidak datang dari timur atau dari barat ataupun dari selatan. Tetapi Allah yang menjadi hakim: Dia menurunkan seseorang dan meninggikan orang lain. Kerana di tangan TUHAN ada cawan dan air anggur-Nya merah; sudah cukup dibancuh, lalu Dia menuangkannya, sesungguhnya semua orang zalim di bumi akan meneguknya sampai habis setiap titik. Tetapi aku akan mengisytiharkannya untuk selama-lamanya; aku akan menyanyikan pujian kepada Allah Yakub. Semua tanduk orang zalim akan dipotong-Nya, tetapi tanduk orang yang benar akan ditinggikan.