MAZMUR 74:1-23

MAZMUR 74:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Sajak Asaf. Mengapakah Engkau meninggalkan kami begini, ya Allah? Murkakah Engkau kepada umat-Mu selama-lamanya? Ingatlah umat yang Engkau pilih sejak dahulu, bangsa yang Engkau bebaskan daripada perhambaan untuk menjadi umat-Mu. Ingatlah akan Bukit Sion, tempat kediaman-Mu dahulu. Datanglah ke tempat yang sudah habis binasa ini; segala yang ada di dalam Rumah-Mu telah dimusnahkan musuh kami. Musuh-Mu bersorak-sorak di Rumah-Mu; mereka mengibarkan panji-panji kemenangan di situ. Mereka kelihatan seperti penebang kayu yang menebang pokok dengan kapak. Mereka menghancurkan segala tembok kayu dengan kapak dan palu. Mereka membakar Rumah-Mu sampai musnah; mereka menajiskan tempat Engkau disembah. Mereka berniat menghancurkan kami sama sekali; mereka membakar segala tempat ibadat di negeri ini. Nabi-nabi dan tanda-tanda ajaib tidak kelihatan lagi, dan tiada seorang pun yang tahu sampai bila keadaan terus begini. Sampai bilakah, ya Allah, musuh kami mengejek Engkau? Adakah sampai selamanya mereka menghina Engkau? Mengapakah Engkau enggan menolong kami? Mengapakah Engkau tidak melakukan apa-apa untuk membantu kami? Tetapi ya Allah, sejak dahulu kala Engkaulah raja kami; Engkau selalu memberi kami kemenangan di negeri ini. Dengan kekuatan yang hebat Engkau membelah laut dan meremukkan kepala makhluk-makhluk laut. Engkau menghancurkan kepala-kepala Lewiatan, dan memberikan bangkainya kepada haiwan gurun sebagai makanan. Engkau membuat mata air dan sungai mengalir; Engkau mengeringkan sungai-sungai yang besar. Engkau mencipta siang dan malam; Engkau menentukan tempat matahari dan bulan; Engkau menentukan batas-batas bumi; Engkau mencipta musim panas dan musim sejuk. Tetapi ingatlah, ya TUHAN, bagaimana musuh-Mu mentertawakan Engkau; mereka tidak mengenal Engkau dan mereka menghina Engkau. Jangan serahkan umat-Mu yang tidak berdaya kepada musuh yang kejam; jangan lupa akan umat-Mu yang dianiaya! Ingatlah perjanjian yang telah Engkau buat dengan kami, kerana terdapat keganasan di segala tempat gelap di negeri ini. Jangan biarkan orang yang tertindas dipermalukan, semoga orang yang miskin dan melarat memberi Engkau pujian. Bangkitlah, ya Allah, dan belalah perkara-Mu kerana sepanjang hari Engkau dihina oleh bangsa yang tidak mengenal Engkau. Jangan lupakan teriakan musuh-Mu yang marah, keriuhan mereka yang tidak sudah-sudah.

MAZMUR 74:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya Allah, mengapakah Engkau menyingkirkan kami untuk selama-lamanya? Mengapakah kemurkaan-Mu berasap terhadap domba di padang-Mu? Ingatlah jemaah-Mu yang telah Kaubeli dahulu, suku warisan-Mu, yang telah Kautebus — Bukit Sion ini, yang telah Kaudiami. Angkatlah kaki-Mu kepada malapetaka yang berterusan, musuh telah merosakkan segala-galanya di tempat suci. Musuh-Mu mengganas di tempat perhimpunan-Mu; mereka mengibarkan panji-panji sebagai tanda. Mereka kelihatan seperti orang yang mengangkat kapak di celah pohon-pohon redang. Dan sekarang mereka meruntuhkan ukirannya dengan kapak dan tukul. Mereka telah membakar tempat suci-Mu; mereka telah mencemarkan tempat kediaman nama-Mu ke bumi. Mereka berkata dalam hati, “Mari kita musnahkan semuanya!” Mereka telah membakar semua tempat perhimpunan Allah di tanah ini. Kami tidak melihat tanda-tanda kami; tidak ada lagi nabi, dan tiada siapa antara kami yang tahu berapa lama. Ya Allah, berapa lamakah seteru akan mencela? Adakah musuh akan mengkufuri nama-Mu selama-lamanya? Mengapakah Engkau menarik balik tangan-Mu, ya, tangan kanan-Mu? Keluarkanlah tangan-Mu dari dada-Mu dan musnahkan mereka! Kerana Allah ialah Rajaku dari dahulu; menjalankan penyelamatan di tengah-tengah bumi. Engkau telah membelah laut dengan kekuatan-Mu; Engkau telah meremukkan kepala ular-ular laut di perairan. Engkau telah meremukkan kepala-kepala Lewiatan dan memberikan sebagai makanan kepada orang yang tinggal di gurun. Engkau telah membukakan pancuran dan banjir; Engkau telah mengeringkan sungai-sungai besar. Siang milik-Mu, malam juga milik-Mu; Engkau telah menyediakan cahaya dan matahari. Engkau telah meletakkan semua sempadan bumi; Engkau telah menjadikan musim panas dan musim dingin. Ingatlah ini, bahawa musuh telah mencela, ya TUHAN, dan kaum yang bodoh telah mengkufuri nama-Mu. Janganlah serahkan nyawa merpati-Mu kepada binatang ganas; janganlah lupakan kehidupan makhluk-Mu yang miskin selama-lamanya. Fikirkanlah perjanjian, kerana tempat-tempat gelap di bumi penuh dengan sarang kekejaman. Janganlah biarkan orang yang tertindas pulang menanggung malu; biarlah orang yang miskin dan sesak memuji nama-Mu. Bangkitlah, ya Allah, tegakkanlah perjuangan-Mu sendiri; ingatlah betapa orang bodoh mencela-Mu setiap hari. Janganlah lupakan suara musuh-Mu, hiruk-pikuk mereka, yang bangkit menentang-Mu semakin bertambah.