MAZMUR 72:1-20

MAZMUR 72:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Daripada Raja Salomo. Ya Allah, ajarkanlah hukum-Mu kepada raja, berikanlah keadilan-Mu kepadanya, supaya raja dapat memerintah umat-Mu dengan jujur, dan memperlakukan orang tertindas dengan adil. Semoga negeri ini menikmati kemakmuran, dan mengalami keadilan. Semoga raja membela orang yang miskin, menolong orang yang melarat serta mengalahkan penindas mereka. Semoga umat-Mu menyembah Engkau selama matahari bersinar, selama bulan bercahaya, untuk sepanjang masa. Semoga raja seperti hujan yang turun di padang, seperti air hujan yang mengairi ladang. Semoga keadilan berkembang pada zaman raja, dan kemakmuran kekal selama bulan bercahaya. Kerajaannya meluas dari laut ke laut, dari Sungai Efrat hingga ke hujung bumi. Penduduk gurun akan bersujud di hadapannya dan musuh akan takluk kepadanya. Raja-raja Tarsis dan pulau-pulau akan mempersembahkan hadiah kepadanya; raja-raja negeri Syeba dan Seba juga akan membawa ufti untuknya. Semua raja akan bersujud di hadapannya, dan semua bangsa akan menjadi hambanya. Raja menyelamatkan orang miskin yang berseru kepadanya, serta orang yang diabaikan dan yang susah. Raja mengasihani orang yang miskin dan yang lemah, dan menyelamatkan orang yang papa. Raja menyelamatkan mereka daripada penindasan dan keganasan; kehidupan mereka berharga baginya. Daulat tuanku! Semoga raja dikurniakan emas dari negeri Syeba; semoga doa diucapkan untuknya sepanjang masa; semoga Allah memberkati raja selama-lamanya! Semoga biji-bijian melimpah di seluruh negeri; semoga bukit-bukit diliputi tanaman, sesubur tanaman di Lebanon. Semoga kota-kota penuh dengan orang, seperti rumput yang tumbuh di padang. Semoga selama-lamanya nama raja diingati, dan kemasyhurannya kekal seperti matahari. Semoga semua bangsa minta diberkati seperti raja, dan semua orang menyebut raja berbahagia. Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, hanya Dia yang melakukan hal-hal yang mengagumkan. Pujilah nama-Nya yang mulia itu selama-lamanya, semoga seluruh bumi penuh dengan kemuliaan-Nya! Amin! Amin! Sekian doa Daud anak Isai.

MAZMUR 72:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Berikanlah penghakiman-Mu, ya Allah, kepada raja, dan perbenaran-Mu kepada anak raja. Dia akan menghakimi umat-Mu dengan adil, dan orang miskin-Mu dengan saksama. Gunung-ganang akan membawa kesejahteraan kepada umat, dan bukit membawa hasil kebenaran. Dia akan membawa keadilan kepada umat yang miskin, Dia akan menyelamatkan anak-anak sesak; dan akan menghancurkan penindas. Mereka akan takut kepada-Mu, selagi ada matahari dan bulan, turun-temurun zaman-berzaman. Dia akan turun seperti hujan ke atas rumput sebelum ditebas, seperti hujan yang mengairi bumi. Dalam pemerintahan-Nya orang yang benar akan makmur; dan kesejahteraan penuh melimpah selagi bulan bercahaya. Dia akan berkuasa dari laut ke laut dan dari Sungai Efrat ke hujung bumi. Mereka yang tinggal di gurun akan tunduk kepada-Nya dan semua musuh-Nya akan menjilat debu. Raja-raja Tarsis dan kepulauan akan membawa persembahan; raja-raja Syeba dan Seba akan membawa persembahan. Ya, semua raja akan sujud di hadapan-Nya, semua bangsa akan melayani-Nya. Kerana Dia akan menolong orang sesak yang berseru kepada-Nya, dan orang yang menderita, serta mereka yang tidak ada penolong. Dia akan mengasihani orang yang miskin dan memerlukan bantuan, Dia akan menyelamatkan orang yang perlu diselamatkan. Dia akan membebaskan hidup mereka daripada penindasan dan keganasan, dan darah mereka amat berharga bagi-Nya. Dia akan hidup kekal! Emas dari Syeba akan dipersembahkan kepada-Nya. Orang akan sentiasa menyembah-Nya dan berdoa kepada-Nya dan setiap hari Dia akan diberkati. Tanaman biji-bijian akan subur dan makmur; hingga ke puncak gunung. Buahnya melambai-lambai seperti di Lebanon; dan penduduk kota akan bertambah seperti rumput di bumi. Nama-Nya akan kekal selama-lamanya; nama-Nya akan kekal selagi ada matahari. Manusia akan diberkati kerana-Nya, semua bangsa akan memuji-Nya. Segala puji bagi TUHAN, ya Allah Israel, hanya Dia yang melakukan perbuatan yang menakjubkan. Segala puji bagi nama-Nya untuk selama-lamanya; semoga seluruh bumi dipenuhi dengan kemuliaan-Nya. Amin, Amin. Sekian doa Daud anak Isai.