MAZMUR 68:1-35
MAZMUR 68:1-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu. Allah bangkit dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Orang yang membenci Dia lari daripada-Nya. Allah mengusir mereka seperti angin meniup asap; orang jahat binasa di hadirat Allah seperti lilin mencair di dalam api. Tetapi umat Allah bergirang dan bersukacita di hadirat-Nya; mereka bersorak-sorak dengan gembira. Nyanyilah kepada Allah, pujilah nama-Nya; sediakanlah jalan bagi Dia yang mengendarai awan. Namanya TUHAN - bergiranglah di hadirat-Nya! Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci, memelihara anak yatim dan melindungi balu. Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara, dan membebaskan orang tawanan sehingga mereka bahagia; tetapi pemberontak akan tinggal di tanah gersang. Ya Allah, ketika Engkau memimpin umat-Mu, ketika Engkau menyeberangi gurun, bumi bergoncang dan langit mencurahkan hujan, kerana kedatangan-Mu, Allah yang berfirman di Sinai, kedatangan Allah umat Israel. Engkau menurunkan hujan yang lebat, serta memulihkan tanah yang gersang, lalu umat-Mu tinggal di sana; demi kebaikan-Mu, Engkau memelihara orang papa. Tuhan memberikan perintah-Nya, lalu banyak wanita membawa berita: “Raja-raja dan tentera mereka sudah lari!” Kaum wanita di rumah membahagikan barang rampasan, dan yang tinggal menjaga domba pada masa perang mendapat patung burung merpati yang diliputi perak, yang sayapnya disaluti emas berkilauan. Allah Yang Maha Kuasa mencerai-beraikan raja-raja di sana seperti salji turun di Gunung Zalmon. Betapa besarnya gunung Basan, gunung yang mempunyai banyak puncak! Mengapakah dari puncakmu yang banyak itu, engkau memandang dengan cemburu terhadap Bukit Sion yang dipilih Allah untuk kediaman-Nya? TUHAN akan tinggal di sana selama-lamanya. Dengan puluhan ribu kereta kuda-Nya yang besar, Tuhan datang dari Sinai ke tempat yang suci itu. Dia naik ke tempat yang tinggi, membawa banyak orang tawanan bersama-sama-Nya, dan menerima ufti daripada pemberontak. TUHAN Allah akan tinggal di sana. Pujilah Tuhan, kerana Dialah yang menyelamatkan kita; setiap hari Dia menanggung beban kita. Allah kita TUHAN yang menyelamatkan; Dialah yang membebaskan kita daripada kematian. Allah tentu akan meremukkan kepala musuh-Nya, mereka yang terus hidup dalam dosa. Tuhan berfirman, “Aku akan membawa musuh kamu kembali dari Basan, Aku akan membawa mereka kembali dari lautan yang dalam, supaya kamu dapat mencuci kaki dalam darah mereka, dan anjing kamu menjilat darah itu dengan sepuas-puasnya.” Perarakan kemenangan-Mu dilihat oleh semua orang, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku, masuk ke tempat kediaman-Nya. Para penyanyi berjalan di hadapan, pemain muzik di belakang, dan gadis pemain tamburin di antara mereka. “Pujilah Allah di tengah umat-Nya; pujilah TUHAN, hai semua keturunan Yakub!” Benyamin, suku yang terkecil berjalan di hadapan, kemudian ketua-ketua Yehuda bersama dengan kumpulan mereka, diikuti oleh ketua-ketua Zebulon dan Naftali. Tunjukkanlah kuasa-Mu, ya Allah, kuasa yang telah Engkau gunakan bagi kami. Di Rumah-Mu, di Yerusalem, raja-raja mempersembahkan ufti kepada-Mu. Tegurlah Mesir, binatang liar itu yang di tengah-tengah gelagah; tegurlah bangsa-bangsa, sekumpulan lembu jantan itu serta anak-anak mereka, sehingga mereka semua bersujud dan mempersembahkan perak kepada-Mu. Cerai-beraikan mereka yang gemar berperang! Duta-duta dari Mesir datang membawa gangsa; orang Etiopia bergegas membawa ufti kepada Allah. Nyanyilah bagi Allah, hai kerajaan-kerajaan dunia, nyanyikanlah pujian kepada Tuhan, kepada Dia yang melintasi langit purba. Dengarlah Dia berseru dengan kuat. Isytiharkanlah kuasa Allah; Dia memerintah seluruh Israel, kuasa-Nya kelihatan di angkasa.
MAZMUR 68:1-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Semoga Allah bangkit, semoga musuh-Nya bertempiaran; semoga semua yang membenci-Nya lari daripada-Nya. Seperti angin meniup asap, Ya Allah usirkan mereka; seperti lilin dilebur oleh api, semoga orang zalim binasa di hadapan Allah. Biar orang yang benar bersukacita; biar mereka bergembira di hadapan Allah; ya, biar mereka bergembira tidak terhingga. Menyanyilah untuk Allah, nyanyikan pujian untuk nama-Nya, sanjungi Dia yang memerintah awan — nama-Nya TUHAN — bergembiralah di hadirat-Nya. Dialah bapa kepada anak yatim, pelindung kepada balu, Dialah Allah di tempat bersemayam-Nya yang suci. Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga, Dia melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran; tetapi orang yang memberontak akan menetap di tanah tandus. Ya Allah, apabila Engkau memimpin umat-Mu, Engkau menyeberangi gurun, Sela bumi bergempa, langit menurunkan hujan kerana kehadiran Allah, Sinai terharu dengan kedatangan Allah, Allah Israel. Engkau, ya Allah, menghantar hujan lebat; untuk mengesahkan warisan pusaka-Mu, umat-Mu yang lesu menderita. Umat-Mu tinggal di situ, Engkau, ya Allah, memberi rahmat-Mu kepada mereka yang miskin melarat. TUHAN menurunkan firman, maka sungguh besar perhimpunan orang yang mengisytiharkannya: “Raja-raja yang memimpin tentera melarikan diri, mereka lari; kaum perempuan di rumah membahagikan rampasan. Walaupun engkau baring di antara kawanan domba, engkau seperti sayap merpati disalut perak, dan bulunya disalut emas tulen.” Ketika Allah Yang Maha Kuasa mengusir raja-raja bertempiaran, kelihatan seputih salji di Zalmon. Gunung Basan sebuah gunung Allah; Gunung Basan banyak puncaknya. Mengapa kamu iri hati, hai gunung-gunung yang berpuncak banyak? Allah memilih gunung ini untuk kediaman-Nya, ya, TUHAN akan berada di sini selama-lamanya. Allah memiliki dua puluh ribu pedati malah ribuan ribu; datangnya Tuhan ke Sinai, ke tempat suci. Engkau telah naik ke tempat yang tinggi, Engkau membawa orang tawanan; Engkau menerima persembahan dalam kalangan manusia, malah daripada pemberontak — supaya TUHAN Allah akan tinggal di sana. Segala puji bagi Tuhan, Allah Penyelamat kita, yang setiap hari memikul beban kita. Sela Allah kita, Allah Penyelamat; dan daripada ALLAH, Tuhan ada kebebasan daripada kematian. Tetapi Allah akan mencederakan kepala musuh-Nya, mereka yang terus melakukan dosa. Tuhan telah berfirman, “Aku akan membawa mereka pulang dari Basan; Aku akan membawa mereka pulang dari lautan dalam, supaya kakimu dapat meremukkan mereka dalam lumuran darah, dan anjingmu menjilat habuannya daripada musuhmu.” Mereka telah melihat perarakan-Mu, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku ke khemah-Mu. Para biduan berjalan di hadapan, pemain alat muzik di belakang; antara mereka gadis-gadis bermain tamborin. Pujilah Allah dalam semua perhimpunan; pujilah TUHAN wahai umat daripada perhimpunan Israel. Suku Benyamin yang terkecil berjalan dahulu, diikuti ketua-ketua Yehuda dan pengikut mereka, kemudian ketua-ketua Zebulon dan Naftali. Allahmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan; Kukuhkanlah, ya Allah, segala yang telah Kaulakukan untuk kami. Kerana Bait Suci-Mu di Yerusalem raja-raja membawa persembahan untuk-Mu. Murkailah bangsa yang seperti binatang liar di rumput air, dan bangsa-bangsa yang seperti lembu jantan bersama anak-anaknya. Sehingga semuanya tunduk mempersembahkan perak kepada-Mu. Usirlah pencinta perang sehingga bertempiaran. Para utusan akan dihantar dari Mesir; Kush akan segera menghulur tangan kepada Allah. Bernyanyilah untuk Allah, hai kerajaan-kerajaan di bumi, nyanyikan puji-pujian kepada Tuhan, Sela kepada Dia pemerintah langit purba tertinggi, sesungguhnya Dia berfirman dengan penuh kekuasaan. Isytiharkan kekuatan Allah, keunggulan-Nya memerintah Israel, dan kekuatan-Nya di angkasa. Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu; Allah Israel memberi kekuatan dan kekuasaan kepada umat-Nya. Segala puji bagi Allah!