MAZMUR 66:5-12,16-20
MAZMUR 66:5-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Marilah dan lihatlah apa yang telah dilakukan Allah, perbuatan-Nya yang ajaib antara manusia. Dia mengubah laut menjadi tanah kering, dan nenek moyang kami berjalan kaki menyeberanginya. Di sana kami bersukacita kerana perbuatan-Nya. Dia memerintah dengan perkasa selama-lamanya, dan Dia mengawasi bangsa-bangsa. Janganlah sesiapa memberontak terhadap Dia! Pujilah Allah kami, hai semua bangsa, biarlah orang mendengar pujian kamu kepada-Nya. Dia telah memelihara kami supaya tidak dibinasakan, dan Dia tidak membiarkan kami dikalahkan. Ya Allah, Engkau telah menguji kami, umpama perak dimurnikan dengan api. Engkau membiarkan kami jatuh ke dalam perangkap dan memberi kami beban yang sangat berat. Engkau membiarkan musuh memijak-mijak kami; kami melalui banjir dan api, tetapi kini Engkau telah membawa kami ke tempat yang makmur.
MAZMUR 66:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Marilah dan dengarlah, hai semua orang yang menghormati Allah, aku akan menceritakan apa yang telah dilakukan-Nya untuk aku. Aku berseru minta tolong kepada-Nya; aku menyanyi dan memuji Dia. Andaikata aku membiarkan dosa dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku. Tetapi sesungguhnya Allah sudah mendengar aku; Dia telah mengabulkan doaku. Aku memuji Allah, kerana Dia tidak menolak doaku, dan tidak berhenti mengasihi aku.
MAZMUR 66:5-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia! Dia mengubah laut menjadi tanah kering, mereka menyeberangi berjalan kaki — di sana kami bersukacita kerana-Nya. Dia memerintah dengan kekuasaan-Nya untuk selama-lamanya, Dia mengawasi bangsa-bangsa; jangan ada pemberontak cuba melawan-Nya. Sela Pujilah Allah kami, hai semua umat-Nya, biar suara puji untuk-Nya didengar orang; Dia telah melindungi kami daripada kematian dan tidak membiarkan kami dikalahkan. Kerana Engkau, ya Allah, telah menguji kami; Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan. Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap; Engkau membebani kami dengan derita. Engkau membiarkan orang memijak kepala kami; kami mengharungi api dan air, tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat.
Mazmur 66:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku. Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku; dan dengan lidahku Dia disanjung. Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku; tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku dan telah mengabulkan doaku. Segala puji bagi Allah, yang tidak menolak doaku dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih-Nya!