MAZMUR 66:1,8-20
MAZMUR 66:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Sebuah lagu. Pujilah Allah dengan sorakan keriangan, hai umat manusia!
MAZMUR 66:8-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Pujilah Allah kami, hai semua bangsa, biarlah orang mendengar pujian kamu kepada-Nya. Dia telah memelihara kami supaya tidak dibinasakan, dan Dia tidak membiarkan kami dikalahkan. Ya Allah, Engkau telah menguji kami, umpama perak dimurnikan dengan api. Engkau membiarkan kami jatuh ke dalam perangkap dan memberi kami beban yang sangat berat. Engkau membiarkan musuh memijak-mijak kami; kami melalui banjir dan api, tetapi kini Engkau telah membawa kami ke tempat yang makmur. Aku akan membawa korban ke Rumah-Mu; aku akan menepati janjiku kepada-Mu, janji yang aku ucapkan, ketika aku dalam kesusahan. Aku akan mempersembahkan ternakan yang digemukkan untuk dibakar di atas mazbah; aku akan mempersembahkan korban lembu jantan dan kambing, lalu asapnya akan naik ke langit. Marilah dan dengarlah, hai semua orang yang menghormati Allah, aku akan menceritakan apa yang telah dilakukan-Nya untuk aku. Aku berseru minta tolong kepada-Nya; aku menyanyi dan memuji Dia. Andaikata aku membiarkan dosa dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku. Tetapi sesungguhnya Allah sudah mendengar aku; Dia telah mengabulkan doaku. Aku memuji Allah, kerana Dia tidak menolak doaku, dan tidak berhenti mengasihi aku.
MAZMUR 66:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bersoraklah dengan girang kepada Allah, wahai seluruh bumi!
Mazmur 66:8-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pujilah Allah kami, hai semua umat-Nya, biar suara puji untuk-Nya didengar orang; Dia telah melindungi kami daripada kematian dan tidak membiarkan kami dikalahkan. Kerana Engkau, ya Allah, telah menguji kami; Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan. Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap; Engkau membebani kami dengan derita. Engkau membiarkan orang memijak kepala kami; kami mengharungi api dan air, tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat. Aku akan masuk ke rumah-Mu membawa korban bakaran, aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu — yang telah kulafazkan ketika aku dalam kesusahan. Aku akan mempersembahkan kepada-Mu ternakan yang digemukkan sebagai korban bakaran bersama bauan harum daging domba jantan; aku akan mempersembahkan lembu jantan dan kambing. Sela Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku. Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku; dan dengan lidahku Dia disanjung. Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku; tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku dan telah mengabulkan doaku. Segala puji bagi Allah, yang tidak menolak doaku dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih-Nya!