MAZMUR 6:1-10
MAZMUR 6:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud. Ya TUHAN, janganlah marah aku ketika Engkau murka! Janganlah hukum aku ketika Engkau marah! Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku penat; pulihkanlah aku kerana aku sungguh letih. Hatiku resah gelisah. Sampai bilakah Engkau tinggalkan aku, ya TUHAN? TUHAN, datanglah dan selamatkanlah aku, selamatkanlah aku daripada maut demi kasih-Mu. Di alam maut Engkau tidak diingat lagi; tiada sesiapa pun memuji Engkau di dunia orang mati. Aku tidak bermaya kerana dilanda kesedihan; setiap malam tempat tidurku dibasahi tangisan; bantalku dibasahi air mata. Mataku rabun dan bengkak kerana terlalu banyak menangis, semua itu disebabkan oleh musuh-musuhku. Nyahlah, hai orang jahat! TUHAN mendengar tangisanku; Dia mendengar permohonanku, dan mengabulkan doaku.
MAZMUR 6:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya TUHAN, janganlah menempelak aku dalam kemarahan-Mu atau menghukum aku dalam kemurkaan-Mu. Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku longlai; ya TUHAN, sembuhkanlah aku, kerana tulang-tulangku terseksa. Jiwaku gundah-gulana. Berapa lama, ya TUHAN, berapa lama? Berpalinglah semula kepadaku, ya TUHAN, dan lepaskan aku; selamatkan aku kerana kasih setia-Mu. Tiada sesiapa mengingati-Mu setelah dia mati. Siapa yang memuji-Mu dari kubur? Aku letih lesu kerana mengerang; sepanjang malam kubanjiri tempat tidurku dengan tangisan dan kubasahi katilku dengan air mata. Mataku menjadi lemah kerana kesedihan; dan semakin kelam kerana musuhku. Nyahlah dari sisiku, hai kamu yang berbuat jahat, kerana TUHAN telah mendengar ratapanku. TUHAN telah mendengar jeritanku memohon belas kasihan; TUHAN menerima doaku. Semua musuhku akan malu dan kecewa; mereka akan berpatah balik dalam keaiban yang tiba-tiba.