MAZMUR 58:1-11
MAZMUR 58:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud. Adilkah keputusan kamu, hai para pemerintah? Jujurkah kamu pada waktu menghakimi manusia? Tidak! Kamu hanya memikirkan kejahatan, dan di negeri ini kamu melakukan keganasan. Orang jahat sesat seumur hidup mereka; sejak lahir, mereka berdusta. Mereka beracun seperti ular berbisa; mereka menutup telinga seperti ular senduk yang pekak yang tidak mendengar suara pawang, ataupun pembaca mantera yang bijak. Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, ya Allah; cabutlah taring singa-singa itu, ya TUHAN! Biarlah mereka hilang seperti air yang mengewap, dan layu seperti rumput yang dipijak-pijak. Biarlah mereka seperti siput yang menjadi lendir, dan seperti bayi yang mati sebelum melihat cahaya. Sebelum mereka sedar, mereka dipotong seperti rumput; dengan kemurkaan-Nya, Allah akan membuang mereka hidup-hidup. Apabila melihat orang berdosa dihukum, orang bijak akan gembira, dan mencuci kaki dalam darah orang durjana.
MAZMUR 58:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Benarkah kamu menegakkan kebenaran, hai kamu yang membisu? Adakah kamu menghakimi dengan adil, hai anak-anak manusia? Tidak, hatimu merancang kejahatan, tanganmu melakukan keganasan di bumi ini. Orang zalim tersisih sejak dalam rahim; mereka sesat sejak lahir, mereka berdusta. Racun mereka seperti racun ular yang bisa, mereka menutup telinga seperti ular tedung yang tuli, yang tidak mahu mendengar suara tuannya, walau betapa bijak memujuknya. Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, ya Allah; cabutkan taring mereka, ya TUHAN! Biar mereka hilang seperti air mengalir terus-menerus; apabila mereka memanah, hancurkan anak panah mereka. Jadikan mereka seperti siput yang menjadi lendir, seperti anak yang dilahirkan mati, tidak sempat melihat matahari. Sebelum mereka sedar ditikam duri berapi — mereka akan disambar-Nya seperti dengan tiupan taufan dalam kemurkaan-Nya yang hidup dan menyala-nyala. Orang yang benar akan bergembira melihat pembalasan itu, lalu membasuh kaki dalam darah orang zalim. Maka orang akan berkata, “Sesungguhnya, orang yang benar mendapat ganjaran; sesungguhnya Allah mengadili di bumi ini.”