MAZMUR 51:10-17
MAZMUR 51:10-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan, agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan, akan menjadi gembira semula. Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku, dan hapuskanlah segala kejahatanku. Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh. Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu; janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku. Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu, dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu. Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa, dan mereka akan kembali kepada-Mu. Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku, lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu. Tolonglah aku berkata-kata, ya Tuhan, lalu aku akan memberi Engkau pujian.
MAZMUR 51:10-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku. Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Kudus-Mu daripadaku. Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah. Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu, dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu. Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, ya Allah, Allah Penyelamatku, maka suaraku akan lantang menyanyikan perbenaran-Mu. Ya Tuhan, bukakan mulutku, aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu. Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan; Engkau tidak berkenan akan korban bakaran. Korban untuk Allah ialah hati yang hancur; hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.