MAZMUR 51:1-12
MAZMUR 51:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku. Aku mengakui kesalahanku; aku sentiasa sedar akan dosaku. Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat. Maka patutlah Engkau menghakimi aku; adillah Engkau ketika menghukum aku. Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan. Engkau menghendaki ketulusan hati; penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu. Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih; basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji. Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan, agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan, akan menjadi gembira semula. Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku, dan hapuskanlah segala kejahatanku. Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh.
MAZMUR 51:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kasihanilah aku, ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal; demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku. Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku. Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku. Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu, maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela. Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku mengandungkan aku. Engkau menghendaki kebenaran dalam diri; dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan. Bersihkan aku dengan hisop, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji. Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku; supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita. Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku dan hapuskan segala kejahatanku. Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku. Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Kudus-Mu daripadaku. Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah.