MAZMUR 50:1-10
MAZMUR 50:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Asaf. TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman; Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat. Dari Sion, kota yang terindah, Allah bersinar seperti matahari. Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam; api yang bernyala-nyala mendahului Dia, ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya. Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi, untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya. Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia, yang telah mengikat perjanjian dengan Aku dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan Allah, kerana Allah itu hakim. “Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman; Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel. Akulah Allah, Allah kamu. Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu, dan korban untuk menyenangkan hati-Ku yang selalu kamu persembahkan. Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu, ataupun kambing daripada ternakan kamu, kerana haiwan di hutan milik-Ku, dan juga lembu di atas ribuan bukit.
MAZMUR 50:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman dan berseru kepada bumi daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari. Dari Sion, puncak keindahan, Allah akan memancarkan cahaya-Nya. Allah kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri; api yang membakar mendahului-Nya, ribut yang kencang mengelilingi-Nya. Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya, dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya: “Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku, mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku dan meneguhkannya dengan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan-Nya, kerana Allah itu hakim. Sela “Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan berfirman, Wahai Israel, Aku akan naik saksi tentang kesalahanmu: Akulah Allah, Allahmu. Aku tidak menyalahkan kamu kerana korban sembelihanmu, atau kerana korban bakaran yang sentiasa kamu persembahkan kepada-Ku. Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu, kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku, begitu juga lembu di atas seribu bukit.