MAZMUR 5:1-12
MAZMUR 5:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud. Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku, dengarkanlah keluhanku. Ya Allahku, Rajaku, dengarlah rintihanku dan tolonglah aku. Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku; ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku, dan menanti-nantikan jawapan-Mu. Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat; Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu. Engkau tidak tahan melihat orang sombong; Engkau membenci semua orang jahat. Engkau memusnahkan semua pembohong, dan menghina pengganas dan penipu. Tetapi demi kasih-Mu yang besar, aku dapat masuk ke Rumah-Mu. Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci, dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat. Ya TUHAN, amat banyak musuhku; pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu, dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh. Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai; rancangan mereka jahat sekali; kata-kata mereka manis memikat, tetapi penuh dengan niat jahat. Hukumlah mereka, ya Allah; biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri. Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu serta pemberontakan mereka terhadap-Mu. Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira; dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya. Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau, supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau.
MAZMUR 5:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah kata-kataku, ya TUHAN, pertimbangkan keluhanku. Dengarlah jeritanku meminta tolong, wahai Rajaku dan Allahku, kerana kepada-Mu aku berdoa. Pada waktu pagi, ya TUHAN, Kaudengar suaraku; pada waktu pagi kulafazkan permohonanku ke hadirat-Mu lalu menanti dengan harapan. Engkau bukanlah Allah yang suka akan kejahatan; dengan-Mu orang zalim tidak dapat tinggal. Orang angkuh tidak dapat berdiri di hadirat-Mu; Engkau benci akan semua yang berbuat jahat. Engkau membinasakan orang yang berdusta; orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya dibenci oleh TUHAN. Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu, akan masuk ke rumah-Mu; dengan sepenuh hormat aku akan tunduk ke arah Bait Suci-Mu. Pimpinlah aku, ya TUHAN, dalam perbenaran-Mu kerana musuh-musuhku — luruskanlah jalan-Mu di hadapanku. Tiada sepatah kata pun daripada mulut mereka dapat dipercayai; hati mereka dipenuhi pembinasaan. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; lidah mereka menuturkan tipu daya. Isytiharkan mereka bersalah, ya Allah! Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka. Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak, kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu. Tetapi biarlah semua orang yang bernaung kepada-Mu bersukacita; biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan. Berilah mereka perlindungan-Mu, supaya orang yang mengasihi nama-Mu dapat bersukacita dalam-Mu. Kerana, ya TUHAN, tentulah Engkau memberkati orang yang benar; Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu seperti dengan perisai.