MAZMUR 45:1-17

MAZMUR 45:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja; lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga. Tuanku yang paling kacak antara manusia, titah tuanku penuh kebaikan, sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya. Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa, tuanku sungguh agung dan mulia! Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan, untuk membela kebenaran dan keadilan, dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar. Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh; bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku. Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuanku akan kekal selama-lamanya. Tuanku memerintah rakyat dengan adil; tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat. Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku, dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain. Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana; pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira. Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri, dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri yang memakai perhiasan emas murni. Dengarlah kata-kata hamba, hai permaisuri, lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku. Kecantikan tuanku memikat hati raja, tuanku milik baginda, taatlah kepada baginda. Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku, orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku. Puteri masuk dengan penuh seri, pakaiannya bersulam benang emas. Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja, diiringi oleh anak-anak dara, yang juga dibawa menghadap raja. Dengan sorakan yang gembira, mereka masuk ke istana raja. Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera, untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku, dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia.

MAZMUR 45:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hatiku melimpah dengan tema yang indah, aku menyanyikan ciptaanku tentang Raja; lidahku seperti pena pujangga. Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia; kasih kurnia tercurah di bibir-Mu, maka Allah memberkati-Mu selama-lamanya. Ikatkan pedang-Mu di pinggang, wahai Raja yang perkasa; dengan kemuliaan dan kedaulatan-Mu. Dan dalam kedaulatan-Mu tujulah kemenangan bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan; maka tangan kanan-Mu akan mengajar-Mu pelbagai perkara yang menakjubkan. Anak-anak panah-Mu tajam menikam jantung musuh Raja; bangsa-bangsa rebah ke bawah kaki-Mu. Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu. Engkau mencintai perbenaran dan membenci kejahatan; oleh itu Allah, Allah TUHAN-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu. Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana dari istana-istana gading yang menggirangkan hati-Mu. Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di keliling-Mu; di sebelah tangan kanan-Mu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir. Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku: Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu. Kecantikanmu memikat hati Raja; hormati Dia kerana Dia Tuanmu, Puteri Tirus akan datang membawa hadiah, orang kaya akan cuba mengambil hati-Mu. Puteri penuh kemuliaan di istana; pakaiannya ditenun dengan benang emas. Dia akan dibawa menghadap Raja dengan pakaian aneka warna; anak-anak dara yang mengiringnya akan menghadap-Mu. Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa; mereka akan masuk ke istana Raja. Anak-anak-Mu akan menggantikan nenek moyang-Mu; Engkau akan merajakan mereka di serata bumi. Dengan nyanyianku ini nama-Mu akan diingati turun-temurun; maka bangsa-bangsa akan memuji-Mu selama-lamanya.