MAZMUR 44:1-26
MAZMUR 44:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur puak Korah. Sajak. Untuk pemimpin koir. Ya Allah, kami sendiri telah mendengar kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami, tentang perbuatan besar yang Engkau lakukan pada zaman dahulu kala. Engkau sendiri mengusir bangsa-bangsa supaya umat-Mu menetap di negeri mereka; Engkau mencelakakan bangsa-bangsa lain, tetapi menjadikan umat-Mu makmur. Mereka tidak menakluki negeri ini dengan pedang; mereka tidak menang dengan kuasa mereka sendiri, tetapi dengan kuasa dan kekuatan serta hadirat-Mu, kerana Engkau berkenan kepada umat-Mu. Engkaulah Rajaku dan Allahku; Engkau memberikan kemenangan kepada umat-Mu. Dengan kuasa-Mu kami mengalahkan musuh kami, dan menakluki orang yang menyerang kami. Aku tidak bergantung kepada busur, atau pedang untuk menyelamatkan diri, kerana Engkaulah yang menyelamatkan kami, dan mengalahkan mereka yang membenci kami. Kami akan sentiasa memuji Engkau dan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. Tetapi sekarang, ya Allah, Engkau meninggalkan kami dan membiarkan kami dikalahkan; Engkau tidak lagi maju bersama dengan tentera kami. Engkau membuat kami lari daripada musuh, dan mereka merampas segala harta kami. Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba, Engkau mencerai-beraikan kami ke negeri asing. Engkau menjual umat-Mu dengan harga yang murah, tanpa mendapat keuntungan apa-apa. Engkau menjadikan kami ejekan jiran kami; mereka mengolok-olokkan dan mentertawakan kami. Engkau menjadikan kami ejekan bangsa-bangsa; mereka menggelengkan kepala dan mengumpat kami. Sepanjang hari aku dihina, dan diliputi perasaan malu, kerana mendengar sindiran dan hinaan yang dilemparkan oleh musuh dan pendendam. Semuanya menimpa kami walaupun kami tidak melupakan Engkau, ataupun memungkiri perjanjian-Mu dengan kami. Kami tidak pernah melawan Engkau; kami tidak pernah melanggar perintah-Mu. Tetapi Engkau meninggalkan kami yang lemah dengan binatang liar; Engkau meninggalkan kami dalam kegelapan yang gelita. Jika kami berhenti menyembah Allah kami, lalu menyembah tuhan lain, tentu Engkau akan mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui rahsia hati manusia. Tetapi kerana Engkau, kami diancam maut setiap masa, kami diperlakukan seperti domba sembelihan. Bangunlah, ya Tuhan! Mengapakah Engkau tidur? Bangkitlah! Jangan tolak kami selama-lamanya! Mengapakah Engkau menyembunyikan diri? Jangan lupakan penderitaan dan kesusahan kami! Kami jatuh hancur di tanah, dan terbaring di atas debu kerana kalah.
MAZMUR 44:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, ya Allah; nenek moyang kami menceritakan kepada kami perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala. Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini; Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka. Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka, dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri; yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu, kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka. Engkau Rajaku, ya Allahku, perintahkanlah kemenangan untuk Yakub. Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami; dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami. Aku tidak akan percaya kepada busurku, atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami; tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami, dan memalukan mereka yang membenci kami. Kami memegahkan Allah sepanjang hari, dan memuji nama-Mu selama-lamanya. Sela Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami; dan Engkau tidak bersama tentera kami. Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh, dan mereka yang membenci kami merampas harta kami. Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa. Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan, dan tidak mendapat untung daripada jualan itu. Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami, penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami. Engkau membuat kami buah mulut bangsa-bangsa; mereka menggeleng kepala mengumpat kami. Aku sentiasa sedar akan maruahku yang tercemar, dan keaiban yang terpalit di mukaku kerana suara orang yang mengejek dan mencaci, kerana suara musuh dan pendendam. Segala ini telah menimpa kami, tetapi kami tidak melupakan-Mu dan tidak mengkhianati perjanjian dengan-Mu. Hati kami tidak berpaling tadah; dan langkah kami tidak meninggalkan jalan-Mu. Tetapi Engkau meninggalkan kami untuk dimakan serigala dan meliputi kami dengan bayangan maut. Kalaulah kami telah melupakan nama Allah kami atau menghulur tangan menyembah tuhan asing, tidakkah Allah mengetahuinya, kerana Dia tahu akan segala rahsia hati? Namun kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari; kami dianggap sebagai domba untuk disembelih. Bangunlah! Mengapa Engkau tidur, ya Tuhan? Bangkitlah! Jangan singkirkan kami selama-lamanya. Mengapa Kausembunyikan wajah-Mu, dan Kaulupakan penderitaan serta penindasan yang menimpa kami? Jiwa kami tersungkur di debu; tubuh kami terlekap ke tanah. Bangkitlah untuk menolong kami; dan tebuslah kami demi kasih setia-Mu.