MAZMUR 44:1-13

MAZMUR 44:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, ya Allah; nenek moyang kami menceritakan kepada kami perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala. Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini; Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka. Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka, dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri; yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu, kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka. Engkau Rajaku, ya Allahku, perintahkanlah kemenangan untuk Yakub. Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami; dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami. Aku tidak akan percaya kepada busurku, atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami; tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami, dan memalukan mereka yang membenci kami. Kami memegahkan Allah sepanjang hari, dan memuji nama-Mu selama-lamanya. Sela Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami; dan Engkau tidak bersama tentera kami. Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh, dan mereka yang membenci kami merampas harta kami. Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa. Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan, dan tidak mendapat untung daripada jualan itu. Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami, penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami