MAZMUR 43:1-5
MAZMUR 43:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya Allah, buktikanlah bahawa aku tidak bersalah, dan belalah aku terhadap bangsa yang durjana; jauhkanlah aku daripada penjahat dan pendusta. Engkaulah pelindungku; mengapakah Engkau meninggalkan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita akibat kekejaman musuhku? Berikanlah cahaya-Mu dan firman-Mu yang benar untuk menyinari dan membimbing aku, agar aku kembali ke Sion, bukit-Mu yang suci, dan ke tempat kediaman-Mu. Maka aku akan pergi ke mazbah-Mu, ya Allah, kerana Engkaulah sumber kebahagiaanku; aku akan menyanyi serta memainkan kecapi, untuk memuji Engkau, ya Allah, Allahku! Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku.
MAZMUR 43:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pertahankan kebenaranku, ya Allah, dan sokong perjuanganku menentang bangsa yang mungkar; selamatkanlah aku daripada manusia yang dusta dan zalim. Kerana Engkaulah Allah kekuatanku. Mengapa Engkau menyingkiri aku? Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuhku? Hantarlah cahaya-Mu dan kebenaran-Mu, untuk membimbingku; membawaku ke bukit suci-Mu, dan ke khemah-Mu. Maka aku akan pergi ke mazbah-Mu, ya Allah, Allah sumber kebahagiaanku yang tidak terhingga. Dan sambil bermain kecapi aku akan memuji-Mu, ya Allah, ya Allahku. Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa kau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku dan Allahku.