MAZMUR 42:1-11
MAZMUR 42:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Sajak puak Korah. Seperti rusa merindukan air sungai, demikianlah jiwaku merindukan Engkau, ya Allah. Aku merindukan Engkau, Allah yang hidup; bilakah aku dapat beribadat di hadirat-Mu? Siang malam aku menangis, hanya air mata makananku; sepanjang masa musuhku bertanya kepadaku, “Di manakah Allahmu?” Hatiku hancur apabila mengenangkan masa lalu, semasa aku pergi bersama-sama orang ramai ke Rumah TUHAN, dan aku berjalan di depan perarakan, dengan sorak-sorai dan lagu pujian. Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku. Di tempat pembuangan ini hatiku hancur, oleh itu aku ingat kepada TUHAN. Jiwaku hanyut dalam arus kesedihan; aku dilanda banjir kekacauan, seperti deru air terjun Sungai Yordan dari Gunung Hermon dan Gunung Mizar. Semoga TUHAN menunjukkan kasih-Nya pada waktu siang; agar aku dapat memuji Dia pada waktu malam, dan berdoa kepada Allah, sumber hidupku. Kepada Allah, pembelaku, aku berkata, “Mengapakah Engkau melupakan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita, akibat kekejaman musuhku?” Aku sangat sedih kerana hinaan mereka. Mereka terus bertanya, “Di manakah Allahmu?”
MAZMUR 42:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Seperti rusa merindui air sungai, demikianlah jiwaku merindui-Mu, ya Allah. Jiwaku dahaga akan Allah, Allah yang hidup. Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah? Air mataku menjadi makananku siang malam, manakala mereka terus-menerus berkata kepadaku, “Di manakah Allahmu?” Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku: kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Rumah Allah, dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia. Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa engkau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku. Ya Allahku, jiwaku nestapa dalam diriku; maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan, dan puncak Gunung Hermon — serta dari Bukit Mizar. Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu; segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku. TUHAN akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari, dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku — doa kepada Allah hidupku. Aku akan berkata kepada Allah Batu Pejalku, “Mengapa Engkau melupakan aku? Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?” Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku, dengan berkata kepadaku sepanjang hari, “Di manakah Allahmu?” Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa kau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku dan Allahku.