MAZMUR 40:1-5,14-17
MAZMUR 40:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar, lalu Dia memperhatikan aku dan mendengar seruanku. Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur. Dia meletakkan aku di atas batu sehingga langkahku kukuh. Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru, lagu pujian untuk Allah kita. Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut lalu percaya kepada TUHAN. Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN, orang yang tidak menyembah berhala atau mengikut mereka yang menyembah dewa.
MAZMUR 40:14-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, selamatkanlah aku! Ya TUHAN, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dibingungkan. Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku, dipukul mundur dan dipermalukan. Biarlah mereka yang mengejek aku terkejut dan malu kerana dikalahkan. Semoga semua orang yang datang kepada-Mu bergembira dan bersukacita! Semoga mereka yang bersyukur bagi penyelamatan-Mu sentiasa berkata, “Sungguh agungnya TUHAN!”
MAZMUR 40:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku menantikan TUHAN dengan sabar; lalu Dia berpaling kepadaku dan mendengar rayuanku. Dia mengeluarkanku daripada lubang yang dahsyat, daripada tanah liat berpaya; dan meletakkan aku berpijak di atas bukit batuan serta menetapkan langkahku. Dia telah meletakkan nyanyian baru di bibirku, puji-pujian kepada Allah kita. Ramai yang akan melihat dan berasa takut lalu percaya kepada TUHAN. Diberkatilah orang yang menjadikan TUHAN kepercayaannya, dan tidak gentar terhadap orang angkuh serta pendusta. Sungguh banyak, ya TUHAN, Ya Allahku, perbuatan menakjubkan yang telah Kaulakukan. Dan ingatan-Mu kepada kami tidak dapat disebutkan satu persatu; kalaulah aku cuba mengisytiharkannya, banyaknya tidak terkira.
Mazmur 40:14-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Biar mereka dimalukan dan dikelirukan, mereka yang ingin meragut nyawaku; biar mereka berundur dan menanggung aib mereka yang hendak memusnahkan aku. Biar mereka berundur kerana malu, mereka yang mengejekku, “Aha! Aha!” Biar semua yang mencari-Mu bergembira dan bersukacita kerana-Mu; dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa, “TUHAN Maha Tinggi!” Aku miskin dan sesak; tetapi Tuhan ingat kepadaku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; janganlah berlengah-lengah, ya Allahku.