MAZMUR 38:1-22

MAZMUR 38:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan. Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka. Panah-Mu melukai tubuhku; tangan-Mu memukul aku. Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu; seluruh badanku sakit kerana dosaku. Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku terlalu berat bagiku. Kerana perbuatanku yang bodoh, luka-lukaku bernanah dan busuk. Aku menjadi bongkok, aku tersungkur; aku berdukacita sepanjang hari. Demam membakar badanku, dan aku sakit tenat. Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga; aku mengeluh kerana hatiku susah. Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku; Engkau mendengar segala keluhanku. Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang, dan mataku sudah menjadi suram. Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku; bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku. Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku, dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku. Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar, umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap. Aku umpama orang yang tidak menjawab, kerana tidak dapat mendengar. Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku. Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku; jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku! Aku hampir jatuh, dan sentiasa kesakitan. Aku mengakui dosaku; hatiku cemas memikirkan kesalahanku. Musuh-musuhku sihat dan kuat; banyak orang yang membenci aku tanpa sebab. Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan, menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar. Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN, jangan jauhi aku, ya Allahku!

MAZMUR 38:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya TUHAN, jangan marahi aku dalam kemurkaan-Mu jangan hukum aku dalam nyala keberangan-Mu. Kerana anak-anak panah-Mu menikamku sungguh dalam, dan tangan-Mu menekanku. Seluruh tubuhku sakit kerana kemurkaan-Mu; tulang-tulangku rapuh kerana dosaku. Kejahatan yang kulakukan telah keterlaluan seperti beban yang terlampau berat untukku. Luka-lukaku busuk bernanah kerana kebodohanku. Aku menderita, aku sungguh tertekan; aku berduka sepanjang hari. Kerana pinggangku penuh radang; dan seluruh tubuhku sakit. Aku daif dan remuk-redam; aku merintih kerana hatiku rusuh. Ya Tuhan, seluruh keinginanku terdedah di hadapan-Mu; dan rintihanku tidak tersembunyi daripada-Mu. Hatiku berdebar-debar, kekuatanku hilang; malah mataku juga kehilangan cahaya. Orang yang kusayangi dan sahabat handaiku takut mendekatiku kerana penyakit hawarku; dan saudara-maraku menjauhkan diri daripadaku. Orang yang ingin membunuhku memasang jerat untukku, mereka yang hendak mencederakan aku bercakap tentang kebinasaanku; dan merancangkan penipuan sepanjang hari. Tetapi aku, seperti orang tuli, tidak mendengar, aku seperti orang bisu yang tidak membuka mulut; Demikianlah aku seperti seorang yang tidak mendengar, dan tidak berkata apa-apa tentang segala yang berlaku. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berharap; Engkau akan mendengar, ya Tuhan, Allahku. Kerana aku berkata, “Dengarlah rayuanku, supaya mereka tidak bergembira dengan penderitaanku, supaya apabila kakiku tergelincir, mereka tidak mengangkat diri menentangku.” Aku lemah mungkin rebah, dan kesedihan sentiasa kurasakan. Aku akan mengakui kejahatanku; aku sedih terseksa kerana dosaku. Tetapi musuhku bertenaga dan gagah; dan mereka yang membenciku tanpa sebab yang wajar telah berganda bilangannya. Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan menjadi seteruku kerana aku menegakkan kebaikan. Janganlah tinggalkan aku, ya TUHAN; Ya Allahku, janganlah jauh daripadaku. Segeralah tolong aku, ya Tuhan, Penyelamatku!