MAZMUR 35:1-28

MAZMUR 35:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur Daud. TUHAN, lawanlah orang yang menentang aku, dan tentanglah orang yang memerangi aku. Gunakanlah perisai dan baju zirah-Mu, bangkitlah dan tolonglah aku. Angkatlah tombak dan lembing-Mu untuk menentang mereka yang mengejar aku. Katakanlah bahawa Engkau penyelamatku. Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dipermalukan. Biarlah mereka yang berkomplot menentang aku dipukul mundur dan dibingungkan. Biarlah mereka menjadi seperti sekam yang ditiup angin, ketika dikejar oleh malaikat TUHAN. Biarlah jalan mereka gelap dan licin, ketika mereka diburu oleh malaikat TUHAN. Tanpa sebarang sebab mereka memasang perangkap untukku dan menggali lubang yang dalam untuk menangkap aku. Biarlah mereka ditimpa kebinasaan dengan tidak disangka-sangka, dan dijerat oleh perangkap mereka sendiri lalu jatuh dan binasa. Maka aku akan bergembira kerana TUHAN; aku akan bersukacita kerana Dia menyelamatkan aku. Dengan sepenuh hati aku akan berkata kepada TUHAN, “Engkau tiada bandingnya. Engkau melindungi orang lemah daripada orang kuat, orang miskin dan sengsara daripada penindas mereka.” Saksi-saksi jahat menuduh aku, kerana perkara yang tidak aku ketahui. Mereka membalas kebaikan dengan kejahatan, dan aku putus harapan. Semasa mereka sakit, aku berkabung dan berpuasa; aku berdoa dengan menundukkan kepala, seperti mendoakan seorang sahabat atau saudara. Aku tunduk kepala kerana berdukacita, seperti orang yang menangisi kematian ibunya. Tetapi waktu aku dalam kesusahan, mereka semua bergembira dan mengerumuni sambil mengejek-ejek aku; orang yang tidak aku kenal terus-menerus memukul aku. Seperti orang yang memperolokkan orang lumpuh, mereka memandang aku dengan kebencian. Berapa lama lagi, ya Tuhan, Engkau akan membiarkan perkara ini berlaku? Selamatkanlah aku daripada serangan mereka; selamatkanlah nyawaku daripada singa-singa itu! Lalu aku akan bersyukur kepada-Mu dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji Engkau dalam pertemuan mereka itu. Jangan biarkan musuhku, pendusta itu, mentertawakan kekalahanku! Jangan biarkan orang yang membenci aku tanpa sebab, bergembira kerana kedukaanku! Mereka tidak bercakap dengan ramah; sebaliknya, mereka memfitnah orang yang mencintai kedamaian. Mereka menjerit-jerit menuduh aku, “Kami nampak perbuatanmu!” Tetapi Engkau, ya TUHAN, tahu akan perkara ini. Kerana itu, janganlah berdiam diri, janganlah jauhkan diri! Bangunlah, ya Tuhan, dan belalah aku; bangkitlah, ya Allahku, dan tolonglah aku. Belalah aku kerana Engkau adil, ya TUHAN, jangan biarkan musuhku mentertawakan aku. Jangan biarkan mereka berkata sesama sendiri, “Itulah yang kami ingini selama ini!” Jangan biarkan mereka berkata, “Kami telah mengalahkan dia!” Biarlah orang yang menghina penderitaanku dikalahkan sama sekali dan dibingungkan; biarlah orang yang mengaku diri lebih baik daripada aku diliputi perasaan kesal dan malu. Semoga orang yang ingin melihat aku dinyatakan benar, bersorak gembira dan berulang kali berkata, “TUHAN sungguh agung; Dia gembira kerana kemakmuran hamba-Nya!” Maka aku akan memberitakan keadilan-Mu, dan aku akan memuji Engkau sepanjang hari.

MAZMUR 35:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sokonglah perjuanganku, ya TUHAN, dengan orang yang memerangiku; lawanlah mereka yang melawanku. Gunakan perisai dan baju zirah-Mu; dan bangkitlah menolongku. Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku. Katakan kepada jiwaku, “Aku penyelamatanmu.” Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku; dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut. Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin, dan perintahkan malaikat TUHAN menghalau mereka; jadikan jalan yang ditempuh mereka gelap dan licin, dan perintahkan malaikat TUHAN memburu mereka. Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku, biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba — dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri, biar mereka terjerumus lalu binasa. Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan TUHAN, akan bergembira dengan penyelamatan-Nya. Semua tulangku akan berkata, “TUHAN, tiada siapa seperti-Mu, yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka, ya, menyelamatkan orang miskin dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka.” Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku; menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui. Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka. Sedangkan ketika mereka sakit dahulu, aku telah berkabung; aku merendahkan diriku dengan berpuasa. Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku. Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku. Aku tunduk bersedih, bagaikan berkabung untuk ibu. Namun demikian, apabila aku dalam kesusahan, mereka bergembira dan berhimpun; mereka berkumpul menyerangku sedangkan aku tidak tahu. Mereka memfitnahku dengan ganas terus-menerus. Bersama pencemuh mungkar yang mencemuh di majlis jamuan, mereka menggertakkan gigi terhadapku. Ya Tuhan, berapa lamakah Engkau akan melihat sahaja? Selamatkanlah aku daripada binasa di tangan mereka, dan nyawaku yang satu-satunya daripada mulut singa. Aku akan mengucapkan syukur kepada-Mu di perhimpunan besar; aku akan memuji-Mu di hadapan khalayak ramai. Jangan benarkan mereka yang memusuhiku tanpa alasan bergembira kerana kekalahanku; jangan benarkan mereka yang membenciku tanpa sebab berkenyitan riang. Mereka tidak bertutur untuk kesejahteraan, tetapi merancang kepalsuan dan penipuan terhadap orang yang hidup damai. Mereka juga telah bersuara lantang menuduhku dengan berkata, “Aha, aha! Kami telah melihatnya dengan mata kami.” Ini telah Kaulihat, ya TUHAN; janganlah berdiam diri. Ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku. Bangkit dan pertahankanlah kebenaranku! Sokong perjuanganku, Ya Allahku dan ya Tuhanku. Ya TUHAN, ya Allahku, pertahankanlah aku menurut perbenaran-Mu; dan jangan biarkan mereka bergembira kerana kekalahanku. Jangan biarkan mereka berkata dalam hati, “Aha, inilah yang kita mahu!” Jangan biarkan mereka berkata, “Kita telah menghapuskannya.” Malukan dan kelirukanlah mereka yang bergembira kerana penderitaanku; aibkan dan cemarkan nama mereka yang mengangkat diri menentangku. Gembirakan hati sehingga bersorak girang mereka yang menyokong perjuanganku yang benar; biar mereka berkata setiap waktu, “Muliakan TUHAN, yang meredai kejayaan hamba-Nya.” Lidahku akan mengisytiharkan perbenaran-Mu serta memuji-Mu sepanjang hari.