MAZMUR 33:6-19
MAZMUR 33:6-19 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN mencipta langit dengan perintah-Nya, matahari, bulan, dan bintang dijadikan oleh firman-Nya. Dia mengumpulkan laut di suatu tempat; Dia menahan lautan di dalam bendungan. Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi! Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia! Apabila Dia berfirman, dunia tercipta; oleh firman-Nya, segala-galanya dijadikan. TUHAN menggagalkan rancangan bangsa-bangsa; Dia meniadakan niat mereka. Tetapi rancangan TUHAN tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan. Berbahagialah bangsa yang mengakui TUHAN sebagai Allahnya; berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya! TUHAN memandang ke bawah dari syurga, dan melihat semua manusia. Dari takhta-Nya Dia mengamati semua yang tinggal di bumi. Dialah yang membentuk hati mereka, dan mengetahui segala perbuatan mereka. Raja menang bukan kerana tenteranya besar, askar menang bukan kerana kuat. Kuda tidak dapat diharap untuk memenangi perang; kekuatan kuda tidak dapat menyelamatkan. TUHAN memerhatikan mereka yang mentaati-Nya, mereka yang mengharapkan kasih-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada kematian; Dia memelihara nyawa mereka pada masa kelaparan.
MAZMUR 33:6-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengan firman TUHAN langit telah dicipta, dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya. Dia menghimpunkan air segala lautan; Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan. Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi; gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia. Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi; Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh. TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa; Dia menjadikan niat mereka sia-sia. Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya, niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman. Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN, mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya. TUHAN memandang dari syurga Dia melihat semua anak manusia; dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi — Dia membentuk hati setiap orang, Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka. Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar; orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat. Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan; kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa. Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya, kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya, untuk menyelamatkan mereka daripada maut, dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran.