MAZMUR 31:1-11
MAZMUR 31:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Aku berlindung pada-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Engkau Allah yang adil; selamatkanlah aku. Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera! Jadilah penaungku untuk melindungi aku, dan pembelaku untuk menyelamatkan aku. Engkaulah penaungku dan pembelaku; bimbinglah aku menurut janji-Mu. Selamatkanlah aku daripada perangkap yang dipasang untukku; Engkaulah tempat perlindunganku. Aku serahkan diriku kepada jagaan-Mu. Engkau akan menyelamatkan aku, ya TUHAN, Allah yang setia. Engkau membenci orang yang menyembah berhala, tetapi aku percaya kepada TUHAN. Aku akan bergembira dan bergirang, kerana Engkau tetap mengasihi aku. Engkau nampak penderitaanku; Engkau tahu kesusahanku. Engkau tidak membenarkan aku ditawan musuh; Engkau membolehkan aku berjalan dengan bebas. Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku pedih kerana menangis; jiwa ragaku merana. Kedukaan telah menyingkatkan hidupku, dan tangisan telah memendekkan umurku. Kesihatanku merosot kerana kesusahanku, bahkan tulangku menjadi rapuh.
MAZMUR 31:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu; selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu. Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku. Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku. Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku. Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku; Engkau telah menebusku, Ya TUHAN, Allah yang setia. Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna; aku percaya kepada TUHAN. Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku. Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang. Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku kian musnah oleh kesedihan, ya, seluruh jiwa ragaku. Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh. Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku — sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.