MAZMUR 27:1-3,7-14
MAZMUR 27:1-3 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar. Apabila orang jahat menyerang aku dan cuba membunuh aku, mereka akan tersandung lalu jatuh. Walaupun semua tentera mengepung aku, aku tidak akan takut; walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Allah.
MAZMUR 27:7-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihanilah aku dan jawablah aku! Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.” Aku segera datang, ya TUHAN; janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku. Janganlah marah dan tolak hamba-Mu. Engkaulah yang telah menjadi penolongku. Janganlah tinggalkan atau buang aku, ya Allah, penyelamatku! Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku, tetapi TUHAN akan memelihara aku. Ajarilah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat, kerana musuhku amat banyak. Janganlah serahkan aku kepada musuhku, yang menyerang aku dengan fitnah dan ancaman. Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN dalam hidupku di dunia ini. Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada TUHAN!
MAZMUR 27:1-3 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN cahayaku dan penyelamatanku — siapa perlu kutakuti? TUHAN kekuatan hidupku — siapa harus aku gentar? Apabila orang durjana menyerangku untuk membaham dagingku, semua musuh dan seteruku itu, tersandung lalu rebah. Kalaupun seangkatan tentera mengepungku, hatiku tidak akan ngeri; meski perang bangkit melandaku, tentang ini aku tetap yakin.
Mazmur 27:7-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru; dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku. Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!” Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, ya Allah Penyelamatku. Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, TUHAN akan memeliharaku. Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera kerana aku diserang musuh. Jangan serahkan aku ke tangan seteruku, kerana aku digugat saksi-saksi palsu, dan orang yang ganas. Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya: bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup. Nantikanlah TUHAN; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu. Ya, nantikanlah TUHAN!