MAZMUR 27:1-14

MAZMUR 27:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur Daud. TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar. Apabila orang jahat menyerang aku dan cuba membunuh aku, mereka akan tersandung lalu jatuh. Walaupun semua tentera mengepung aku, aku tidak akan takut; walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Allah. Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya. Pada masa kesusahan Dia akan melindungi aku; Dia akan menjaga aku supaya selamat di dalam Rumah-Nya, dan menempatkan aku di atas gunung batu. Maka aku akan mengalahkan semua musuh di sekelilingku. Dengan sorakan gembira aku akan mempersembahkan korban di dalam Rumah-Nya; aku akan menyanyi dan memuji TUHAN. Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihanilah aku dan jawablah aku! Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.” Aku segera datang, ya TUHAN; janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku. Janganlah marah dan tolak hamba-Mu. Engkaulah yang telah menjadi penolongku. Janganlah tinggalkan atau buang aku, ya Allah, penyelamatku! Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku, tetapi TUHAN akan memelihara aku. Ajarilah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat, kerana musuhku amat banyak. Janganlah serahkan aku kepada musuhku, yang menyerang aku dengan fitnah dan ancaman. Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN dalam hidupku di dunia ini. Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada TUHAN!

MAZMUR 27:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN cahayaku dan penyelamatanku — siapa perlu kutakuti? TUHAN kekuatan hidupku — siapa harus aku gentar? Apabila orang durjana menyerangku untuk membaham dagingku, semua musuh dan seteruku itu, tersandung lalu rebah. Kalaupun seangkatan tentera mengepungku, hatiku tidak akan ngeri; meski perang bangkit melandaku, tentang ini aku tetap yakin. Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku, melihat keindahan TUHAN dan merenung di dalam rumah suci-Nya. Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya; di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku. Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal. Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku; maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya; aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji TUHAN. Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru; dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku. Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!” Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, ya Allah Penyelamatku. Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, TUHAN akan memeliharaku. Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera kerana aku diserang musuh. Jangan serahkan aku ke tangan seteruku, kerana aku digugat saksi-saksi palsu, dan orang yang ganas. Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya: bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup. Nantikanlah TUHAN; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu. Ya, nantikanlah TUHAN!

MAZMUR 27:1-14

MAZMUR 27:1-14 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami