MAZMUR 26:1-12
MAZMUR 26:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku melakukan yang benar, dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya. Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku. Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku. Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura. Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, dan aku menjauhkan diri daripada penjahat. Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau. Aku menyanyikan sebuah mazmur dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu. Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu. Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; lindungilah aku daripada nasib pembunuh, iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan dan selalu sedia menerima rasuah. Tetapi aku hidup dengan tulus hati; kasihanilah dan selamatkanlah aku. Aku selamat daripada segala bahaya; aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya.
MAZMUR 26:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tunjukkanlah kebenaranku, ya TUHAN, kerana aku telah hidup dalam ketulusan; dan aku percaya kepada TUHAN maka aku tidak tergelincir. Periksalah aku, ya TUHAN, dan dugalah aku, ujilah fikiran dan hatiku; kerana aku melihat belas kasih-Mu, dan aku telah hidup dalam kebenaran-Mu. Aku tidak duduk bersama penyembah berhala, dan tidak menyertai orang munafik; aku membenci perhimpunan orang yang berbuat jahat dan tidak akan duduk di sisi orang zalim. Aku akan membasuh tanganku dalam kesucian, dengan demikian aku ke tempat menyembah-Mu, Ya TUHAN, supaya aku dapat mengisytiharkan dengan suara kesyukuran segala perbuatan-Mu yang menakjubkan. Ya TUHAN, aku mencintai rumah-Mu, dan tempat kemuliaan-Mu. Janganlah himpunkan jiwaku dengan orang berdosa, dan hidupku dengan manusia penumpah darah, yang merancang perbuatan zalim, manakala tangan mereka penuh rasuah. Tetapi aku, aku akan terus hidup dalam kebaikan; tebuslah aku dan kasihanilah aku. Kakiku berpijak di tempat mantap; dalam perhimpunan aku akan memuji TUHAN.