MAZMUR 24:1-10
MAZMUR 24:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Bumi dan segala isinya milik TUHAN; dunia dan semua yang mendiaminya kepunyaan-Nya. Dia membina dunia di atas air, dan meletakkan asasnya di samudera. Siapakah yang boleh naik ke bukit TUHAN dan masuk ke dalam Rumah-Nya yang suci? Orang yang tulus tindakan dan fikiran, yang tidak menyembah berhala, atau membuat janji palsu. Merekalah yang akan diberkati dan diselamatkan TUHAN, dan dinyatakan tidak bersalah oleh Allah. Orang seperti itulah yang datang menghadap Allah, merekalah yang datang menyembah Allah Yakub. Bukalah pintu zaman purba seluas-luasnya, Raja yang mulia akan masuk! Siapakah Raja yang mulia itu? Dialah TUHAN yang perkasa, TUHAN yang penuh kuasa, yang berjaya dalam pertempuran. Bukalah pintu zaman purba seluas-luasnya, Raja yang mulia akan masuk! Siapakah Raja yang mulia itu? TUHAN Yang Maha Kuasa, Dialah Raja yang mulia!
MAZMUR 24:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bumi ini milik TUHAN dengan segala yang di dalamnya, dunia dan semua penghuninya; kerana Dia telah mengasaskannya di atas lautan dan menegakkannya di atas perairan. Siapa yang boleh naik ke bukit TUHAN? Siapa yang boleh berdiri di tempat suci-Nya? Manusia yang bersih tangannya dan murni hatinya, yang tidak mempersembahkan jiwanya kepada berhala atau sumpah palsu. Dia akan diberkati TUHAN dan menerima kebenaran daripada Allah Penyelamatnya. Inilah keturunan yang mencari Dia, yang mencari wajah-Mu, ya Allah Yakub. Sela Angkatlah kepalamu, wahai pintu gerbang; dan terangkatlah, kamu pintu yang kekal, Raja kemuliaan akan berangkat masuk. Siapakah Raja kemuliaan ini? TUHAN yang gagah perkasa, TUHAN yang perkasa dalam peperangan. Angkatlah kepalamu, wahai pintu gerbang; angkatlah, kamu pintu yang kekal, Raja kemuliaan akan berangkat masuk. Siapakah Raja kemuliaan ini? TUHAN alam semesta, Dialah Raja kemuliaan. Sela