MAZMUR 20:1-9
MAZMUR 20:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Semoga TUHAN mengabulkan doamu pada waktu kesusahan. Semoga kuasa Allah Yakub melindungi kamu. Semoga Dia menghantar pertolongan dari Rumah-Nya dan memberi kamu bantuan dari Bukit Sion. Semoga Dia menerima segala persembahanmu dan berkenan pada segala korbanmu. Semoga Dia memberi kamu keinginanmu dan menjayakan segala rancanganmu. Lalu kami akan bersorak-sorak kerana kemenanganmu, dan merayakan kemenanganmu dengan memuji Allah kita. Semoga TUHAN mengabulkan segala permintaanmu. Sekarang aku tahu bahawa TUHAN memberikan kemenangan kepada raja pilihan-Nya; dari syurga-Nya yang suci TUHAN mengabulkan permintaannya. Oleh kuasa TUHAN, raja mendapat kemenangan yang besar. Ada orang bergantung kepada kereta kuda mereka, yang lain kepada kuda mereka, tetapi kita yakin akan kuasa TUHAN, Allah kita. Mereka akan tersandung dan jatuh, tetapi kita akan bangkit dan berdiri teguh.
MAZMUR 20:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Semoga TUHAN mengabulkan doamu pada waktu kesusahan; semoga nama Allah Yakub melindungimu. Semoga Dia menghantar pertolongan kepadamu dari rumah suci-Nya dan memberimu kekuatan dari Sion. Semoga Dia ingat akan segala persembahanmu dan menerima korban bakaranmu. Sela Semoga Dia memenuhi hasrat hatimu dan menjadikan semua rancanganmu berhasil. Kami akan bersukacita dengan penyelamatanmu dan mengibarkan bendera merayakannya dengan nama Allah kita. Semoga TUHAN mengabulkan segala rayuanmu. Kini aku tahu TUHAN menyelamatkan orang yang dipilih-Nya; Dia akan mengabulkan doanya dari syurga-Nya yang suci dengan tangan kanan-Nya yang menyelamatkan. Ada orang yang meletakkan kepercayaan pada pedati atau kuda, tetapi kita semata-mata mengingati nama TUHAN, Allah kita. Mereka telah tunduk dan rebah, tetapi kita telah bangkit dan tegak berdiri. Selamatkanlah raja, ya TUHAN! Semoga Engkau menyahut apabila kami berseru!