MAZMUR 18:3-6,16-19
MAZMUR 18:3-6 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku.
MAZMUR 18:16-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN, dan bertempik dengan murka terhadap mereka. Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku.
MAZMUR 18:3-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku. Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku. Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku. Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN; aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.
Mazmur 18:16-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan. Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku. Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi TUHAN menolongku. Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.