MAZMUR 18:2-7,17-20
MAZMUR 18:2-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku. TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku.
MAZMUR 18:17-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku. Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku.
MAZMUR 18:2-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku. Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku. Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku. Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN; aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya. Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.
Mazmur 18:17-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku. Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi TUHAN menolongku. Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar; Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.