MAZMUR 148:1-14
MAZMUR 148:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN, hai seisi syurga, hai kamu yang tinggal di tempat tinggi. Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya, pujilah Dia, hai seluruh tentera syurga. Pujilah Dia, hai matahari dan bulan; pujilah Dia, hai bintang-bintang yang gemerlapan. Pujilah Dia, hai langit yang tertinggi, pujilah Dia, hai air yang di atas langit. Biarlah semuanya memuji nama TUHAN; semuanya tercipta oleh perintah-Nya. Dengan perintah-Nya, Dia menentukan tempat semuanya untuk selama-lamanya, dan semua itu harus selalu mentaati ketetapan-Nya. Pujilah TUHAN, hai seisi bumi, hai makhluk raksasa laut dan seluruh samudera raya, hai kilat dan hujan batu, salji dan awan, serta angin ribut yang taat kepada perintah-Nya. Pujilah Dia, hai bukit dan gunung, pokok buah dan hutan, semua binatang yang jinak dan yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga burung. Pujilah Dia, hai raja-raja dan semua bangsa, para pemerintah dan penguasa, semua pemudi dan pemuda, orang tua dan orang muda. Hendaklah mereka semua memuji nama TUHAN! Dia lebih agung daripada semua yang lain; Dia lebih berkuasa daripada semua yang di bumi dan di syurga. Dia telah menguatkan umat-Nya, supaya Dia dipuji oleh segenap umat-Nya, umat Israel yang dikasihi-Nya.
MAZMUR 148:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pujilah TUHAN! Pujilah Dia dari langit, pujilah Dia di tempat-tempat tinggi. Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya, pujilah Dia, hai angkatan syurga. Pujilah Dia, hai matahari dan bulan, pujilah Dia, hai kamu semua bintang bercahaya. Pujilah Dia, hai kamu langit di atas langit dan kamu air di atas segala langit. Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana Dia telah memberikan perintah lalu mereka dicipta. Dia juga menapakkan mereka selama-lamanya; Dia membuat ketetapan yang tidak akan lenyap. Pujilah TUHAN dari bumi, hai kamu makhluk besar laut dan bawah lautan, api dan hujan batu, salji dan awan, angin ribut yang menunaikan firman-Nya, gunung-ganang dan segala bukit, pokok berbuah dan semua pokok araz, haiwan dan segala lembu kerbau, binatang menjalar dan burung yang terbang, raja-raja di bumi dan semua bangsa, putera-putera dan semua pemerintah di bumi, pemuda dan gadis, orang tua dan kanak-kanak. Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana hanya nama-Nya ditinggikan; kemuliaan-Nya mengatasi bumi dan langit. Dan Dia telah mengangkat tinggi tanduk umat-Nya, pujian seluruh umat-Nya yang warak, anak-anak Israel, umat yang dekat dengan-Nya. Pujilah TUHAN!