MAZMUR 143:1-12
MAZMUR 143:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Ya TUHAN, dengarlah doaku, terimalah rayuanku! Engkau baik dan setia, oleh itu jawablah aku! Janganlah hakimi aku, hamba-Mu; tiada seorang pun yang tidak bersalah di hadapan-Mu. Musuhku telah memburu aku, dan mengalahkan aku. Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap, dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati. Oleh itu aku putus asa, aku tidak berdaya. Aku mengingatkan masa yang lalu; aku memikirkan segala yang telah Engkau lakukan, aku mengenangkan segala perbuatan-Mu. Aku berdoa dengan menghulurkan tangan kepada-Mu; aku memerlukan Engkau seperti tanah kering memerlukan hujan. Jawablah aku segera, ya TUHAN, aku putus harapan. Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku, supaya aku tidak menjadi seperti orang yang sudah turun ke alam maut. Setiap pagi ingatkanlah aku tentang kasih-Mu, kerana aku berharap kepada-Mu. Aku berdoa kepada-Mu; tunjukkanlah aku jalan yang harus aku tempuh. Aku datang hendak berlindung kepada-Mu, ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada musuhku. Engkaulah Allahku; ajarlah aku melakukan kehendak-Mu. Berbuat baiklah kepadaku, dan pimpinlah aku ke jalan yang selamat. Selamatkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu; selamatkanlah aku daripada kesusahan kerana Engkau baik. Bunuhlah musuhku kerana Engkau mengasihi aku; binasakanlah semua penindasku, kerana aku ini hamba-Mu.
MAZMUR 143:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah permohonanku; jawablah dengan kesetiaan-Mu dan dengan perbenaran-Mu. Janganlah jalankan penghakiman ke atas hamba-Mu, kerana dalam pandangan-Mu tiada makhluk hidup yang benar. Kerana musuh telah menganiaya jiwaku, dia telah menindasku ke tanah; dia telah membuat aku tinggal dalam kegelapan seperti orang yang sudah lama mati. Oleh itu, rohku tertekan di dalamku; hatiku gundah di dalamku. Aku mengenang zaman silam; aku merenungkan semua perbuatan-Mu, aku memikirkan segala hasil kerja tangan-Mu. Aku menadahkan tanganku kepada-Mu; jiwaku merindui-Mu seperti tanah yang dahaga. Sela Jawablah segera, ya TUHAN; rohku layu. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, takut nanti aku menjadi seperti mereka yang masuk ke dalam jurang. Perdengarkanlah kasih setia-Mu kepadaku pada waktu pagi, kerana kepada-Mu kusandarkan kepercayaanku. Beritahulah aku jalan yang harus kuambil, kerana aku mengangkatkan jiwaku kepada-Mu. Lepaskanlah aku, ya TUHAN, daripada musuhku, kepada-Mu aku berlindung. Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu, kerana Engkaulah Allahku; biarlah Roh baik-Mu membimbing aku di alam ketulusan. Pulihkanlah aku, ya TUHAN, demi nama-Mu; demi perbenaran-Mu, bawalah jiwaku keluar daripada kesusahan. Dengan kasih setia-Mu, tumbangkanlah musuhku; dan musnahkanlah kesemua mereka yang menyakiti jiwaku, kerana aku hamba-Mu.