MAZMUR 142:1-7
MAZMUR 142:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Sajak Daud, ketika dia berada di dalam gua. Aku berseru kepada TUHAN, aku merayu kepada-Nya meminta bantuan. Aku mengemukakan segala aduanku kepada-Nya; aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya. Apabila aku putus asa, Dia tahu apa yang harus aku lakukan. Di jalan yang harus aku tempuh, musuhku telah memasang perangkap untukku. Aku melihat ke sampingku, tiada sesiapa pun yang dapat menolong aku; tiada seorang pun yang melindungi aku. Tiada seorang pun yang mempedulikan aku. Ya TUHAN, aku berseru minta tolong kepada-Mu, Engkaulah pelindungku, Engkau sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini. Dengarlah seruanku minta tolong, kerana aku tidak berdaya. Selamatkanlah aku daripada musuhku; mereka terlalu kuat bagiku.
MAZMUR 142:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku berseru kepada TUHAN dengan suaraku; kepada TUHAN aku membuat permohonanku. Aku mencurahkan aduanku di hadirat-Nya; aku mengisytiharkan di hadirat-Nya kesusahanku. Apabila rohku tertekan di dalamku, ketika itu Engkau tahu jalanku. Di jalan tempat aku melangkah, senyap-senyap mereka memasang jerat untukku. Pandanglah ke sebelah kananku dan lihatlah; tiada sesiapa pun yang mengiktirafku. Penaungku tidak menolongku; tiada sesiapa pun yang mengambil berat tentang jiwaku. Aku telah berseru kepada-Mu, ya TUHAN; aku berkata, “Engkaulah penaungku, yang ada padaku di alam orang hidup.” Dengarlah seruanku, kerana aku ditindas jauh ke bawah; lepaskanlah aku daripada penganiayaku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Keluarkanlah jiwaku daripada penjara, supaya aku dapat memuji nama-Mu. Orang yang benar akan mengelilingiku kerana Engkau akan melimpahkan kebaikan-Mu kepadaku.