MAZMUR 14:1-7
MAZMUR 14:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Orang bodoh berkata dalam hati, “Tidak ada Allah.” Mereka semua jahat dan perbuatan mereka keji; tidak seorang pun melakukan yang baik. Dari syurga TUHAN memandang umat manusia untuk mencari orang yang bijak, orang yang menyembah Dia. Tetapi semua orang sudah menyimpang dan sesat, tiada seorang pun melakukan yang baik. TUHAN bertanya, “Tidakkah semua orang jahat ini tahu? Mereka hidup dengan merompak umat-Ku, dan tidak pernah berdoa kepada-Ku.” Orang jahat akan ketakutan, kerana Allah menolong orang yang taat kepada-Nya. Orang jahat merintangi hasrat orang miskin, tetapi orang miskin dilindungi TUHAN. Semoga penyelamatan bagi Israel datang dari Sion! Apabila TUHAN menjadikan umat-Nya makmur semula, semua orang Israel akan bersukacita.
MAZMUR 14:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Orang bodoh berkata dalam hatinya, “Tidak ada Allah.” Mereka rosak akhlak, mereka melakukan perbuatan keji; tiada yang berbuat baik. TUHAN memandang dari syurga kepada anak-anak manusia untuk melihat kalau ada yang mengerti, yang mencari Allah. Semuanya telah berpaling, bersama-sama rosak akhlak; tiada yang berbuat baik, tidak ada, tiada seorang pun. Tidakkah orang yang melakukan kejahatan ini tahu — mereka merampas hak umat-Ku dan tidak berseru kepada TUHAN? Sekarang mereka akan ditimpa ketakutan yang besar, kerana Allah ada bersama orang yang benar. Kamu menghalang rancangan orang miskin, tetapi TUHAN melindungi mereka. Semoga penyelamatan Israel datang dari Sion! Apabila TUHAN memulihkan keadaan umat-Nya, bergembiralah Yakub dan bersukacitalah Israel!