MAZMUR 120:1-7
MAZMUR 120:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Lagu ziarah. Dalam kesusahanku, aku berseru kepada TUHAN, dan Dia mengabulkan doaku. Ya TUHAN, selamatkanlah aku, daripada pendusta dan penipu. Hai pendusta, apakah yang akan dilakukan Allah kepada kamu? Dengan apakah Dia akan menghukum kamu? Dia akan menghukum kamu dengan anak panah tajam seorang askar, dan dengan bara api yang menyala-nyala! Hidup di kalangan kamu sangat celaka, sama seperti hidup di Mesekh, atau di kalangan orang Kedar! Aku sudah hidup terlalu lama dengan orang yang membenci kedamaian. Apabila aku bercakap tentang kedamaian, mereka menghendaki peperangan.
MAZMUR 120:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dalam kesusahanku aku berseru kepada TUHAN, dan Dia mendengar seruanku. Selamatkanlah jiwaku, ya TUHAN, daripada bibir berdusta dan lidah yang menipu. Apakah yang akan diberikan kepadamu, atau apakah yang akan dilakukan kepadamu, hai kamu lidah yang palsu? Dia akan menghukummu dengan anak-anak panah tajam perwira, dengan kayu arar yang menyala. Betapa malangnya aku, kerana aku tinggal di Mesekh, di antara khemah Kedar! Jiwaku telah tinggal terlalu lama dengan orang yang membenci damai. Aku menyokong damai; tetapi apabila aku bersuara, mereka menyokong perang.