MAZMUR 119:81-88
MAZMUR 119:81-88 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.
MAZMUR 119:81-88 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.