MAZMUR 119:65-80

MAZMUR 119:65-80 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu.