MAZMUR 119:25-40
MAZMUR 119:25-40 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
MAZMUR 119:25-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu.